Seperti biasa, operasi jemaah haji dari Malaysia akan dikendalikan oleh Lembaga Tabung Haji yang telah dari awal melakukan pelbagai persiapan, sama ada di tanah air atau di tanah suci Mekah dan Madinah.

Semalam (27 Jun), seramai 151 petugas Tabung Haji telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) ke Jeddah yang menggunakan pesawat Malaysia Airlines MH150.

Majlis meraikan keberangkatan mereka telah diadakan di TH Hotel di Kelana Jaya hari ini yang turut dihadiri oleh pengurusan kanan Tabung Haji.

Menurut Pengurus Besar Hal Ehwal Awam Dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Anis Zuhani Ahmad, mereka adalah petugas di bahagian kebajikan dan perubatan dan merupakan sebahagian daripada 350 petugas awal yang dikenali sebagai Petugas Advance Party.

Jumlah petugas keseluruhan tahun ini ialah sebanyak 640 orang dengan 380 daripadanya adalah petugas kebajikan dan 260 petugas perubatan. – Utusan Malaysia