Home » Langit Terbuka » Pendakwah dipenjara dua tahun kerana miliki bahan berkaitan pengganas

Pendakwah dipenjara dua tahun kerana miliki bahan berkaitan pengganas

KUALA LUMPUR, Selasa – Seorang pendakwah hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan-bahan berkaitan dengan aktiviti kumpulan pengganas, Mac lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan memerintahkan tertuduh, Anwar Ab Rawi dari Kuala Terengganu, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh  tangkap pada 22 Mac 2016.

Nordin berkata mahkamah serius dalam menangani masalah  berkaitan keganasan dan tidak mahu ia berlaku di negara ini kerana boleh  mendatangkan keburukan.

“Dari peringkat awal perkara ini perlu dihindari, caranya melalui hukuman  yang diberikan, supaya setiap pelaku dapat rasakan seriusnya mahkamah tangani  keganasan,” katanya.

Anwar dituduh memiliki sebuah buku bertajuk ‘Misteri Pasukan Panji Hitam’  (Rahsia Thaifah Manahumah-Kumpulan Elit Pasukan Islam) dan empat imej gambar di dalam telefon bimbitnya di sebuah rumah beralamat Lot 12389, Taman Manir Indah, Kampung Banggol Tuan Muda, Kuala Terengganu, pada 8.48 pagi, 22 Mac 2016.

Kesemua itu merupakan item berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas iaitu kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI), Al Qaeda (AQ) dan Daesh.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang  memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.

Mengikut fakta kes, Anwar ditahan sepasukan anggota polis ketika berada di rumahnya dan hasil pemeriksaan polis menemui sebuah buku dan empat imej gambar di dalam telefon bimbitnya.

Kesemua bahan yang ditemui itu disahkan mempunyai kaitan dengan kumpulan  pengganas oleh seorang pakar berkenaan kajian kumpulan pengganas termasuk kajian terhadap bahan serta material berunsur keganasan oleh Prof Dr Rohan Gunaratna dari Singapura.

Menurut Rohan, penemuan imej dan video berunsur keganasan dan berkait  kumpulan pengganas itu menunjukkan tertuduh merupakan seorang penyokong kepada  ideologi keganasan.

Peguam Saiffuddin Othman yang mewakili tertuduh berkata pengakuan salah anak guamnya menunjukkan dia telah insaf manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.   Anwar sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman pada 19 April  2016. – Bernama

Artikel Berkaitan

Maqasid haji membina kesatuan ummah

Ibadah haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang menjadi tunjang dalam kehidupan seorang Muslim. Ia adalah manifestasi ketaatan kepada Allah SWT

Ukuran haji mabrur

Ibadat haji merupakan kewajipan bagi umat Islam yang mampu dan menjadi rukun Islam kelima. Tentunya setiap kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT

Syahristani tajam dalam ilmu perbadingan

  Syahristani adalah seorang ulama terkenal abad ke-21 khususnya di bidang teologi, sejarah dan agama. Ia juga dikenali sebagai ahli perbandingan agama.

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *