Home » Langit Terbuka » Pendapatan TH meningkat

Pendapatan TH meningkat

Peningkatan pendapatan Tabung Haji ini menghasilkan keuntungan bersih RM1.25 bilion berbanding RM849.66 juta pada tempoh sama 2019. - Foto Majalah Labur

KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) mencatat pendapatan pelaburan RM1.55 bilion dalam tempoh setengah tahun pertama tahun ini disokong oleh pelaburan di pasaran sukuk dan saham.

Pelaburan aset pendapatan tetap menyumbang RM1 bilion iaitu 65 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan TH bagi tempoh Januari hingga 30 Jun lalu.

Pelaburan hartanah menjana pendapatan RM204.57 juta manakala instrumen pasaran wang Islam menyumbang RM187.13 juta dan RM150.27 juta pula daripada pelaburan ekuiti.

Peningkatan pendapatan ini menghasilkan keuntungan bersih RM1.25 bilion berbanding RM849.66 juta pada tempoh sama 2019.

Jumlah aset TH juga melebihi liabiliti sebanyak RM1.86 bilion sehingga 30 Jun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, TH sedang membuat persediaan untuk menghadapi pengurusan ibadah haji yang lebih rumit pada tahun depan berikutan penangguhan pada musim ini termasuk menangani cabaran baru seperti penyampaian perkhidmatan yang mengambilkira situasi Covid-19.

“Penularan wabak Covid-19 memberi impak ketara terhadap ekonomi dan pasaran kewangan dunia, termasuk ekonomi dan pasaran kewangan tempatan.

“Kejutan Covid-19 juga berlaku dalam situasi ekonomi global yang lemah berikutan harga minyak mentah yang rendah dan kemelut perang perdagangan antara ekonomi besar dunia.

“Sebagai institusi pengurusan haji dan pelaburan yang aktif di pasaran kewangan, TH turut terkesan dengan impak wabak itu pada awal tahun ini berikutan langkah pengawalan penularan jangkitan namun, keadaan pasaran kewangan beransur pulih apabila aktiviti ekonomi dibenarkan semula bersama langkah menerusi pelan rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, impak besar daripada wabak Covid-19 ke atas ekonomi dunia dan negara menjadi cabaran utama bagi TH dalam menguruskan pelaburan demi melindungi kepentingan pendeposit. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *