Home » Langit Terbuka » Pengerusi Bank Rakyat dinobat Wanita Paling Berpengaruh dalam Perniagaan dan Kewangan Islam

Pengerusi Bank Rakyat dinobat Wanita Paling Berpengaruh dalam Perniagaan dan Kewangan Islam

Noripah ketika mnerima anugerah Wanita Paling Berpengaruh dalam Perniagaan dan Kewangan Islam. - Foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR – Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso dinobatkan sebagai Wanita Paling Berpengaruh dalam Perniagaan dan Kewangan Islam semasa Anugerah WOMANi 2019 baru-baru ini.

Noripah menduduki tempat pertama dalam kalangan 300 senarai wanita di peringkat antarabangsa dari 16 buah negara, dengan penentuan kedudukan (ranking) ditentukan berdasarkan keupayaan membawa perubahan, mengatasi halangan dan mewujudkan peluang baharu dalam dunia kewangan Islam global.

Penilaian tersebut turut merangkumi keupayaan beliau dalam menjadi pencetus bagi usaha menghubungkan pengamal dengan bidang akademik di peringkat antarabangsa.

Bagi penyediaan senarai kedudukan, penganjur, Cambridge IFA meneliti pelbagai pendapat pasaran di samping menjalankan aktiviti pengumpulan data secara meluas, sebelum memuktamadkan senarai 300 wanita paling berpengaruh dalam kewangan Islam.

Mengulas mengenai pengiktirafan berkenaan, Datuk Noripah menekankan tiga ruang fokus kewangan Islam dan luar daripadanya, iaitu pendanaan secara langsung kepada ekonomi Islam seperti ekosistem halal dan digitalisasi; pembiayaan PKS akan memastikan pengagihan kekayaan yang saksama, mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan meningkatkan kuasa beli; serta menjangkau masyarakat bukan Islam.

“Kewangan Islam adalah untuk semua. Halal adalah untuk semua,” kata Noripah.

Anugerah WOMANi 2019 ini dianjurkan oleh Cambridge IFA, sebuah badan pemikir berpangkalan di United Kingdom (UK), berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 17 Jun lalu, dan merupakan platform anugerah kecemerlangan dan pengiktirafan serata dunia yang diperkenalkan bagi mempromosi kesaksamaan jantina dalam sektor korporat, sosial dan filantropi.

Fokus utamanya adalah untuk mengiktiraf wanita dalam bidang perniagaan dan kewangan Islam. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *