Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dermaga Sari Holdings Sdn. Bhd. (DSH) itu diiktiraf sebagai penerima anugerah ‘Special Talent Entrepreneur’ dalam majlis 100 Top Young CEO 2019 baru-baru ini.

Menurut Mohd. Asna, kejayaan itu merupakan kenangan manis serta pemangkin untuk beliau berusaha lebih keras dalam bidang perniagaan yang diasaskan sejak 11 tahun lalu.

Katanya, DSH terlibat dalam pelbagai cabang perniagaan iaitu automotif, pendidikan, minyak dan gas, pembinaan, kolej swasta dan kejuruteraan elektrik.

“Syukur Alhamdulillah atas kejayaan ini. Saya berasa bangga dengan pencapaian yang diterima ini.

“Anugerah ini adalah pembakar semangat saya untuk berkerja keras dan membantu semula masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini (18 Ogos).

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof dalam majlis yang diadakan di Kuala Lumpur pada 13 Ogos lalu.

Mohd. Asna yang juga Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun, Taman Lavender Height di Senawang di sini berkata, beliau sentiasa memastikan aspek profesionalisme dititikberatkan dalam pengurusan syarikatnya.

Ujar beliau, DSH mencatat perolehan mencecah RM50 juta pada tahun lalu dan menyasarkan syarikat itu mampu meraih RM100 juta dalam tempoh tiga tahun.

Ujarnya, syarikat tersebut turut menjangkakan mampu menyediakan peluang pekerjaan lebih besar kepada anak tempatan dengan sasaran 1,000 pekerja dalam masa lima tahun.

DSH juga terlibat dalam bidang pendidikan dengan menguruskan Unifield International College (UIC) di Melaka dengan kira-kira 3,000 pelajar yang mengambil pelbagai kursus dari peringkat sijil ke ijazah serta bekerjasama dengan universiti tempatan dan antarabangsa.

Berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik daripada Universiti Teknologi Malaysia, Mohd. Asna juga merupakan Penasihat Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia yang mempunyai 5,000 ahli. – Utusan Malaysia