Home » Citra Yadim » Perjelas Islam yang sebenar

Perjelas Islam yang sebenar

PUTRAJAYA – Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berbahagia Ustaz Haji Nik Omar Nik Abdul Aziz memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Islam yang sebenar dijelaskan kepada rakyat.

“Ia (Islam yang sebenar) berdasarkan kepada Al Quran dan hadis sahih, sebagaimana dibawa oleh Nabi Muhamad SAW,” kata beliau.

Nik Omar berkata demikian dalam sesi Town Hall Bersama warga YADIM di sini pada 21 Disember.

Hadir sama ialah Timbalan Yang Dpertua YADIM, Yang Berbahagia Ustaz Zolkharrnain Abidin, serta pegawai dan kakitangan YADIM dari ibu pejabat.

Keduanya secara rasmi memulakan tugas di badan dakwah ini pada 20 Disember, selepas pelantikan mereka diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Dr Mujahid Yusuf pada 14 Disember lalu.

Dalam pada itu, tambah Nik Omar, hasrat Perdana Menteri itu disuarakannya dalam sesi pertemuan dengan cendekiawan Islam pada 31 Julai lalu.

Menurutnya Perdana Menteri mahu supaya kerajaan pimpinan beliau melaksanakan urus tadbir yang berasaskan Islam.

“Justeru jadi tanggungjawab kita, (dalam konteks YADIM sekurang kurangnya) untuk melaksanakan perkara ini. Kita bergerak atas dasar itu dan apa yang digariskan oleh YB Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf, iaitu konsep Rahmattan Lil Alamin” jelasnya.

Bercakap mengenai YADIM, Nik Omar berharap dengan kerjasama semua pegawai dan kakitangan badan dakwah ini, ia dapat terus fokus kepada melaksanakan kerja kerja dakwah.

“Kita perlu kembali kepada asal usul YADIM, ketika ia mula mula ditubuhkan pad 1974, untuk capai tujuan itu, semua pegawai dan kakitangan perlu kuat dan ubah pemikiran, kemudian barulah kerja dakwah kita dapat diterima ramai,”jelasnya.

Sementara itu, Zolkharnain dalam ucapannya sebelum Nik Omar menegaskan, konsep Rahmattan Lil Alamin yang dibawa kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh diperlekehkan.

Jelas beliau, ia bersumberkan Al Quran yang mesti dihormati oleh orang Islam, dan dengan nyata menerangkan bahawa Islam membawa rahmat kepada seluruh alam.

Tambah beliau, konsep itu tidak boleh disangkal bahawa ia diambil dari Al Quran, dan bukannya direka reka oleh seseorang.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *