Home » Langit Terbuka » Perlu CCTV di rumah ibadat

Perlu CCTV di rumah ibadat

Ketua Polis Negara berkata, setakat ini pihaknya mendapati kebanyakan rumah ibadat sama ada surau, masjid, kuil, tokong atau gereja masih belum mempunyai CCTV. - Foto Osram

KOTA BHARU – Polis menyarankan pengurusan rumah-rumah ibadat di seluruh negara supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis masing-masing kerana lokasi itu tidak terkecuali daripada menjadi sasaran penjenayah serta perbuatan sabotaj.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat ini pihaknya mendapati kebanyakan rumah ibadat sama ada surau, masjid, kuil, tokong atau gereja masih belum mempunyai CCTV.

Menurutnya, ketiadaan teknologi itu menyukarkan pihak berkuasa membuat siasatan untuk mengesan pelaku di sebalik kes jenayah atau sabotaj di rumah ibadat yang terlibat.

“Pemasangan CCTV ini adalah salah satu usaha bagi mencegah kes jenayah di rumah ibadat namun ia mungkin membabitkan kos yang agak tinggi.

“Bagaimanapun jika pihak rumah ibadat ada kemampuan, mereka memang perlu pasang CCTV itu di lokasi masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan kepada 174 penerima di Hotel Perdana, di sini.

Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi mengakui, pihaknya berdepan kesukaran menyiasat kes dua patung berhala yang sengaja diletakkan di hadapan Surau Sabilul Huda, Pandamaran, Klang baru-baru ini kerana surau tersebut juga tidak dilengkapi CCTV.

“Selain tiada CCTV, tiada saksi yang tampil dan ini menyukarkan pihak polis untuk mengesan siapa pelakunya. Namun, kita bernasib baik kerana mendapat petunjuk sekali gus mengesan suspek terlibat. Dia ditahan pada pukul 6.15 petang 24 Februari,” katanya.

Mohamad Fuzi memberitahu, bagi membendung sebarang provokasi agama yang dilihat menggugat keamanan negara, polis turut menjalinkan kerjasama lebih erat dengan pengurusan rumah ibadat termasuk meletakkan premis-premis terbabit di bawah jagaan pegawai tertentu.

“Kita berharap masyarakat berbilang kaum di negara ini tidak membuat provokasi dan mencaci penganut agama lain seperti menghina Rasulullah SAW baru-baru ini. Dalam masa sama, orang Islam juga mesti faham sensitiviti dan kepercayaan rakan-rakan bukan Islam,” katanya. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *