Home » Langit Terbuka » Persiapan anjur Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 lancar

Persiapan anjur Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 lancar

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 bertujuan membincang, mencari jalan penyelesaian baharu terhadap isu-isu menimpa dunia Islam. - Foto Al Hijrah Online

KUALA LUMPUR – Persiapan bagi menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di ibu negara berjalan lancar dan kini sudah hampir siap.

Setiausaha Agung Bersama persidangan antarabangsa berkenaan, Tan Sri Samsudin Osman, berkata setakat ini, beliau berpuas hati dengan kelancaran persediaan sidang kemuncak itu.

“Cuma ada beberapa perkara lagi yang perlu kita perkemaskan seperti kekemasan dewan dan aturan tempat duduk bagi tetamu khas,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri raptai awal majlis perasmian sidang kemuncak itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Samsudin berkata raptai penuh bagi majlis perasmian akan dijalankan esok.

“Kita mahu pastikan apa yang kita lakukan akan berjalan seperti yang dirancang dan pada hari terbabit, tidak berlaku sebarang masalah,” katanya.

Sidang Kemuncak KL berlangsung dari Rabu hingga Sabtu dan didahului sidang kemuncak belia pada esok dan Rabu.

Tinjauan mendapati kawalan keselamatan mula diperketatkan di KLCC serta kawasan sekitarnya, manakala petugas teknikal giat membuat persiapan akhir memasang tirai latar dan menyiapkan dewan utama persidangan, dewan plenari, selain bilik media yang akan menempatkan petugas media dalam dan luar negara.

Yang turut kelihatan, gegantung di sepanjang jalan utama berhampiran KLCC seperti Jalan Pinang dan Jalan P Ramlee yang memaparkan perkataan ‘Welcome to Kuala Lumpur Summit 2019’ (Selamat Datang ke Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019).

Persidangan berkenaan yang bertujuan membincang, mencari jalan penyelesaian baharu terhadap isu-isu menimpa dunia Islam dan menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat serta negara Islam, dijadual dihadiri pemimpin, pemikir, intelektual dan cendikiawan dari seluruh dunia. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *