Home » Langit Terbuka » Perutusan Hari Bapa Majlis Perundingan Wanita Rahmah

Perutusan Hari Bapa Majlis Perundingan Wanita Rahmah

Tiada siapa dapat menyangkal kepentingan peranan bapa dalam pembentukan peribadi anak anak. - Foto HTeknologi.com

Sempena Hari Bapa 2019 Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada seluruh bapa-bapa di mana sahaj mereka berada.

Sebagaimana tiada hari yang khusus untuk mengenang jasa ibu, begitu juga dengan golongan bapa. Mereka wajar diberi penghormatan dan dikenang jasa-jasa mereka dalam membangunkan keluarga sepanjang masa .Tiada siapa dapat menyangkal kepentingan peranan bapa dalam pembangunan keluarga dan pendidikan anak-anak mereka .

Sejarah pembukaan Kota Constantinople (sekarang Istanbul, Turki) oleh Sultan Muhammad Al Fateh misalnya adalah hasil dari didikan dan dorongan seorang bapa , Sultan Murad II yang mempunyai impian besar agar anaknya berjaya menjadi orang yang dimaksudkan Nabi saw “..Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera” HR Imam Ahmad.

Marilah kita sama-sama mengenang jasa para bapa yang telah sekian lama berusaha dan bersusah payah memelihara, mendidik dan menjadi pelindung kepada kita sehinggalah kita dapat menjalani kehidupan sendiri dan menikmati kejayaan pada tahap di mana jua kita kini berada.

Siapalah kita tanpa insan mulia ini. Hormatilah dan santunilah mereka yang kian lanjut usia ini dengan baik sebagaimana mereka menyayangi dan menyantuni kita sewaktu kecil.
Mafhum Hadith :` Diriwayatkan dari Abdullah bin Amr bahawa Rasulullah SAW telah berpesan,
’ Keredhaan Allah terletak kepada keredhaan bapa dan kemurkaan Allah juga terletak kepada kemurkaan bapa.’

Kajian menunjukkan bagaimana anak-anak yang mempunyai bapa yang terlibat dalam tumbesaran mereka ternyata menjadi individu yang lebih yakin , berupaya menangani cabaran kehidupan, mempunyai harga diri yang tinggi dan berjatidiri; anak-anak lelaki akan kurang mempamerkan tingkahlaku agresif dan yang perempuan kurang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral termasuk zina..

Sebaliknya sekiranya golongan bapa cuai dalam menjalankan peranan tugas dan tanggungjawab mereka maka meningkatlah gejala sosial dan pelbagai masalah masyarakat yang lain. Pengalaman berinteraksi dengan remaja puteri di rumah perlindungan dan bimbingan remaja puteri mengesahkan kenyataan ini dimana kebanyakan remaja perempuan yang terjebak dengan gejala zina dan salahlaku yang dipulihkan di rumah seperti ini ternyata mempunyai hubungan yang pincang dengan bapa mereka; samada bapa sudah tiada atau pun tidak memainkan peranan mereka dengan sewajarnya.

Di sisi yang lain hubungan yang renggang antara bapa dengan ahli keluarganya mempunyai kesan negatif kepada tahap kesihatannya. Sementara usaha yang dilakukan oleh seseorang secara berkala untuk membangunkan hubungan kekeluargaannya akan menjadikannya lebih sihat setanding dengan aktiviti gaya hidup sihat yang lain (penjagaan makan, senaman, tangani stress dan tidur yang merehatkan).

Di peringkat antarabangsa pula idea berhubung perlunya keseimbangan antara kerja dan keluarga mula mendapat tempat dalam masyarakat. Pakar perunding ‘Work-Life/family Balance” (Kehidupan kerjaya dan keluarga seimbang) mula menunjukkan statistik bagaimana peningkatan prestasi kerja seseorang berlaku apabila kehidupan berkeluarganya juga diambil perhatian.

Hakikatnya dengan berlalunya masa dan cabaran kehidupan masa kini yang lebih mencabar dan mementingkan kebendaan menyebabkan peranan kebapaan ini semakin dipinggirkan.

Mengikut statistik Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 mendapati seramai 235, 240 daripada 13.9 juta wanita adalah ibu tunggal dan bilangan ini meningkat tahun demi tahun.

Justru sempena Hari Bapa 2019 MAWAR-YADIM mengajak masyarakat berganding bahu bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kembali peranan bapa sebagai tunggak pembangunan keluarga .
1. Golongan bapa disaran untuk terus memainkan peranan aktif menjadi ketua keluarga yang menunaikan amanah dan tanggungjawab dalam semua aspek pembangunan keluarga. Antara hadiah terpenting dari bapa untuk anak-anak mereka adalah mengasihi ibu anak-anaknya dan mendidik serta memperlakukan mereka dengan cara yang paling baik.

2. Para isteri sebagai pendamping suami diseru agar menggunakan kelembutan dan kebijaksanaan mereka untuk mendorong dan membantu suami menunaikan tanggungjawab dan memainkan peranan mereka yang sebenar

3. Para Ibubapa meningkatkan kemahiran mendidik anak-anak mereka sesuai dengan peredaran zaman berasaskan nilai agama dan ketuhanan. Perhatian khusus mestilah diberikan kepada perbezaan cara didikan anak lelaki dan perempuan demi melahirkan generasi muda yang seimbang dan holistik perkembangannya.

4. Para majikan mengambil perhatian untuk membantu bapa memainkan peranan dalam keluarga. Kemudahan sistem kerja anjal misalnya mestilah dikuatkuasakan agar golongan bapa dapat mengoptimakan masa bersama anak mereka.

Semoga dengan ini kita dapat membantu golongan bapa memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan sehingga institusi keluarga menjadi utuh bagi mendepani cabaran pembinaan Negara Rahmah yang kita mahukan

Dr Hafidzah Hj Mustakim
Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Rahmah-Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

MAWAR – YADIM

12 Syawal 1440/16 Jun 2019

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *