Home » Langit Terbuka » Plasenta: haram bagi rawatan kosmetik, harus untuk perubatan

Plasenta: haram bagi rawatan kosmetik, harus untuk perubatan

Mufti Wilayah Persekutuan berkata, pengharaman itu bertujuan mengelak amalan eksploitasi yang mencabul kemuliaan pada tubuh badan manusia. - Foto Ismaweb

KUALA LUMPUR – Hukum melakukan rawatan kosmetik atau kecantikan menggunakan suntikan plasenta manusia adalah diharamkan mengikut syarak, namun diharuskan bagi tujuan perubatan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pengharaman itu bertujuan mengelak amalan eksploitasi yang mencabul kemuliaan pada tubuh badan manusia.

Katanya, dari segi hukum haram memakan anggota badan manusia kerana manusia dimuliakan syarak daripada dimakan selari firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 70.

“Selain kesucian, faktor kemuliaan diri manusia perlu diambilkira dalam mengambil ubat-ubatan berunsurkan plasenta atau disebut juga sebagai tembuni dan uri iaitu organ yang menghubungkan ibu dengan janin dalam rahim termasuk membekalkan makanan dan oksigen.

“Terdapat sebahagian budaya memakan plasenta kerana mengikut tabiat haiwan. Dikatakan bahawa diet ini bagus kerana akan mengembalikan kekuatan dan kesihatan kepada ibu yang baru bersalin.

“Pendapat ini bersifat kontroversi dan masih tidak dapat dibuktikan, bahkan kajian sebahagian pakar tidak menggalakkan orang mengamalkannya kerana terdapat potensi mudarat kepada kesihatan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan netizen yang ingin tahu hukum melakukan rawatan kosmetik menggunakan suntikan plasenta manusia dan kambing biri-biri.

Artikel lengkap bertajuk ‘Irsyad Al-Fatwa Siri ke-281: Hukum Suntikan Kosmetik Menggunakan Plasenta’ itu boleh dibaca di laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan di https://www.muftiwp.gov.my.

Zulkifli berkata bagi keperluan perubatan seperti merawat penyakit tertentu, maka hukum menggunakan plasenta manusia adalah diharuskan kerana terdapat darurat dan hajat.

“Adapun penggunaan plasenta haiwan yang halal dan disembelih mengikut cara yang syarie, maka boleh digunakan bagi tujuan perubatan dan kecantikan.

“Menggunakan plasenta haiwan yang bernajis pula adalah haram untuk tujuan kosmetik tetapi harus untuk tujuan perubatan atas faktor darurat dan hajat,” katanya.

Beliau berkata, Islam mensyaratkan untuk berubat, antara lain, sumber ubat itu mestilah suci.

“Jika ubat atau rawatan itu menggunakan najis, maka asalnya adalah diharamkan kerana hukum syarak melarang mengambil manfaat daripada najis, jika terdapat bahan suci lain yang boleh menggantikan,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *