Home » Langit Terbuka » Rakyat kini lebih berani melaporkan rasuah

Rakyat kini lebih berani melaporkan rasuah

Perdana Menteri
Perdana Menteri berkata, pemupukan budaya dan nilai murni di kalangan rakyat adalah pendekatan paling berkesan dalam mendidik masyarakat yang takut akan rasuah. - Foto The Vocket

LUXEMBOURG (Vienna) – Kes rasuah meningkat di Malaysia disebabkan lebih banyak aduan diterima daripada rakyat yang tidak lagi takut melaporkan kegiatan rasuah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendedahkan, ini ada kaitan dengan dasar kerajaan yang melaksanakan strategi dan pendekatan telus dalam memerangi rasuah dan salah laku.

“Kes rasuah yang dilaporkan bagaimanapun bukan berlaku semasa kerajaan baharu sebaliknya ketika kerajaan terdahulu.

“Orang ramai dan pegawai kerajaan tidak lagi gusar atau diancam apabila memberi maklumat berkenaan perkara yang tidak betul dan menyalahi undang-undang,” katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk Memerangi Rasuah Di Malaysia: Pencapaian, Cabaran dan Perspektif di Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa (IACA) di sini, malam tadi.

Dr Mahathir turut mengklasifikasikan rasuah kepada dua peringkat iaitu suapan atas meja (over the table) dan suapan bawah meja (under the table).

Katanya, adalah amat malang sekiranya amalan rasuah atas meja dibiar berleluasa ia boleh mendatangkan masalah apabila orang ramai tidak lagi takut merasuah kakitangan dan pegawai kerajaan termasuk ahli politik.

“Lebih menakutkan jika ini akan menjalar menjadi satu budaya kepada masyarakat.

“Jika amalan rasuah pada peringkat bawah meja, ia masih ada harapan untuk memeranginya apabila orang ramai tidak lagi berani menawarkan rasuah secara terbuka untuk memperoleh sesuatu projek atau permohonan,” katanya.

Dr Mahathir menjelaskan, walaupun sebanyak mana undang-undang dipinda dan diperteguhkan, rasuah tidak boleh dihapuskan secara ‘total’ atau menyeluruh.

Justeru, katanya, pemupukan budaya dan nilai murni di kalangan rakyat adalah pendekatan paling berkesan dalam mendidik masyarakat yang takut akan rasuah.

“Adalah lebih baik kesedaran tentang kotornya rasuah ini kita dipupuk dalam kalangan generasi muda lagi,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia sebelum ini terpaksa berdepan imej yang tercalar apabila kerajaan terdahulu termasuk bekas Perdana Menteri dipalit dengan amalan rasuah.

“Bila kita menang pilihan raya umum lalu, penekanan utama kerajaan baharu ialah mengambil semua kaedah untuk membanteras rasuah.

“Kita memperkenalkan dasar mewajibkan semua menteri Kabinet dan termasuk Perdana Menteri mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita juga menetapkan penggal pentadbiran Perdana Menteri dua penggal atau 10 tahun saja,” katanya. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *