Home » Langit Terbuka » Rancang wujud Perkampungan Perkim di setiap negeri

Rancang wujud Perkampungan Perkim di setiap negeri

Setiausaha Agung Perkim berkata, perkampungan itu nanti dilengkapkan pelbagai kemudahan seperti pusat pendidikan, perniagaan, tempat ibadah dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu untuk membentuk komuniti yang harmoni dan sejahtera dalam masyarakat. - Foto Ikim.FM

BESUT – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) merancang membuka penempatan khusus dinamakan Perkampungan Perkim di setiap negeri yang bakal dihuni pelbagai kaum beragama Islam di negara ini.

Setiausaha Agung Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, penempatan yang dirancang di setiap negeri itu bagi meneruskan hasrat bekas pengasas Perkim yang juga Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman.

Katanya, Perkampungan Perkim itu nanti dilengkapkan pelbagai kemudahan seperti pusat pendidikan, perniagaan, tempat ibadah dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu untuk membentuk komuniti yang harmoni dan sejahtera dalam masyarakat.

“Bagi menjayakan hasrat itu, Perkim akan berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi mendapatkan persetujuan supaya kawasan yang sesuai dapat disediakan untuk menterjemah dan menghayati maksud bersatu antara kaum menerusi Perkim,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perkim Cawangan Besut kali ke-23 di Bangunan Baitul Ehsan di Jerteh dekat sini.

Mohd. Yusof berkata, kriteria penyertaan Islam dari pelbagai kaum dijadikan sebagai elemen penting ke arah membawa kesatuan selaras dengan usaha Perkim menarik sokongan bukan Islam menyertai pertubuhan itu atas dasar kebajikan.

Sementara itu beliau berkata, Perkim berhasrat berbincang dengan kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam negeri bagi tujuan memanfaatkan sumbangan derma yang diterima daripada orang ramai pada setiap Jumaat.

Beliau juga menggesa orang ramai mengikis tanggapan negatif terhadap Perkim kononnya mempunyai kepentingan politik hanya disebabkan diasaskan orang politik, sebaliknya untuk kebajikan dan kesejahteraan masyarakat. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *