Home » Langit Terbuka » Risiko strok haba: Elak lakukan aktiviti luar

Risiko strok haba: Elak lakukan aktiviti luar

Menteri Kesihatan memaklumkan, buat masa ini, kes strok haba di seluruh negara masih terkawal dan pihaknya sentiasa memantau perkembangan berkenaan setiap hari. - Foto MetMalaysia

KANGAR: Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai agar tidak melakukan aktiviti luar rumah sekiranya tiada sebarang keperluan bagi menggelakkan serangan strok haba.

Berikutan itu, kanak-kanak dan golongan dewasa yang berisiko dengan serangan strok haba juga disaran agar dapat menjaga kesihatan dengan sebaiknya sepanjang musim cuaca panas ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, buat masa ini, kes membabitkan serangan strok haba di seluruh negara masih terkawal dan kementerian sentiasa memantau perkembangannya setiap hari.

“Memang kita ada dengar kes heat stroke beberapa hari lepas yang melibatkan kanak-kanak 11 tahun dan 19 bulan.

“Tapi setakat ini, ia masih terkawal dan kita hanya nasihatkan orang ramai untuk elak keluar rumah sekiranya tiada keperluan,” katanya selepas mengadakan lawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Hadir sama sewaktu lawatan berkenaan adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ismuni Bohari.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang maut dipercayai akibat serangan strok haba dalam kejadian di Kampung Perupok, Bachok, Kelantan.

Satu lagi kes turut dilaporkan di Kampung Kota, Kelantan membabitkan seorang kanak-kanak berusia 19 bulan yang maut dipercayai akibat strok haba.

Mengulas mengenai perkembangan Covid-19, Dr. Zaliha berkata, murid-murid yang akan memulakan sesi persekolahan digalakkan mengamalkan pemakaian pelitup muka bagi menggelakkan jangkitan virus berkenaan.

“Kita menggalakkan dan bukannya mewajibkan (pemakaian pelitup muka) supaya anak-anak di sekolah dapat menggelakkan jangkitan khususnya bagi mereka yang bergejala,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *