Home » Citra Yadim » Sedia jalin kerjasama dengan NGO China

Sedia jalin kerjasama dengan NGO China

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bersedia menjalin kerjasama dengan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) dari China.

Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz berkata, selain mengeratkan silaturrahim, ia juga merupakan peluang bagi badan dakwah itu untuk belajar tentang pelbagai perkara menerusi hubungan yang akan terjalin.

“Kita ambil dan belajar tentang kelebihan dan kekuatan yang mereka ada, pada masa yang sama mereka juga boleh ambil contoh pengalaman YADIM,”.

“Menerusi ini kita harap dapat main peranan agar hubungan kedua negara bertambah erat,” katanya dalam sesi perbincangan dengan delegasi daripada Persatuan Cina Muslim (CIA) dari China di ibu pejabat YADIM di sini pada 31 Julai.

Delegasi CIA seramai enam orang itu diketuai oleh Timbalan Pengerusinya, Jin Rubin. Hadir sama dalam kunjung hormat itu ialah Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Dato’ Muhammad Chan dan Setiausaha Agungnya, Nurul Nadirah Liew.

CIA kini dalam rangka lawatan ke beberapa  pertubuhan di Malaysia dengan tujuan mempelajari pengurusan mereka, khususnya berkaitan Islam selain bertukar pandangan dengan kepimpinannya.

Dalam sesi perbincangan dengan CIA itu, Nik Omar mengambil peluang untuk menerangkan mengenai gerak kerja badan dakwah ini serta peranan yang dimainkannya dalam menyebarkan Islam di Malaysia.

Turut dijelaskan ialah pendirian kerajaan yang menolak pandangan ekstrem dalam menguruskan perbezaan pendapat di negara ini. Jelas beliau, Islam dipaparkan sebagai sebuah agama yang adil dan rahmah, sesuai dengan konsep yang ianya membawa kebaikan dan rahmat untuk semua.

Pada masa yang sama, Nik Omar juga menerangkan peranan yang dimainkan oleh agensi agensi agama persekutuan di negara ini dalam menyebarkan dakwah dan konsep rahmah. Selain itu, penglibatan pihak swasta dalam menyebar luas Islam juga dijelaskan kepada delegasi CIA.

“Bagi melihat sendiri usaha ini, anda boleh berkunjung ke Kumpulan Karangkraft, mereka merupakan syarikat yang mencetak dan menerbitkan Al Quran terbesar di negara ini,” cadang beliau kepada mereka.

Rubin pula dalam perbincangan berkenaan, memaklumkan beberapa perkembangan berkaitan Islam di China dan mengajak YADIM untuk ke negara itu bagi melihat sendiri situasi sebenar di sana.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia baru baru ini melawat China, kami berbesar hati sekiranya anda juga datang ke negara kami dalam lawatan susulan,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *