Home » Langit Terbuka » Sektor kewangan Islam Malaysia
 sumbang 27 % sistem perbankan

Sektor kewangan Islam Malaysia
 sumbang 27 % sistem perbankan

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Sektor kewangan Islam di negara ini tidak harus leka serta perlu berusaha untuk menjadi sistem kewangan terbaik bagi menarik orang ramai, orang Islam dan bukan Islam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan semasa ketika ini menunjukkan sektor kewangan Islam mempunyai tanda untuk terus berkembang dan meluas.

Beliau berkata, aset perbankan Islam kini telah menyumbang 27 peratus kepada jumlah sistem perbankan di Malaysia serta penembusan Takaful sebanyak 14.8 peratus daripada jumlah penduduk.

“Aset perbankan Islam negara telah berkembang melebihi sasaran 20 peratus seperti yang dihasratkan dalam Pelan Induk Sektor Kewangan Malaysia oleh Bank Negara apabila sektor tersebut menguasai lebih daripada suku atau 27 peratus daripada keseluruhan sistem perbankan negara.

“Oleh itu, sektor kewangan Islam mesti teguh dan berdaya tahan, perlu terus menjajarkan kedudukannya jika mahu terus dihormati dan diiktiraf di dunia,” katanya ketika merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2016 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau telah dibacakan bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Zamani Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pada hari ini, Malaysia mempunyai 20 institusi kewa­ngan Islam serta merupakan pusat kepada lima institusi kewangan Islam antarabangsa dari Eropah dan Asia pasifik

Bagaimanapun, beliau membe­ritahu, di peringkat global, industri kewangan Islam masih terlalu kecil berbanding saiz potensi pasaran yang meliputi lebih satu bilion umat Islam di seluruh dunia.

Tambah beliau, satu daripada halangan kepada pertumbuhan kewangan Islam ialah kurangnya kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai kaedah alternatif perbankan, insurans dan pelaburan Islam.

“Justeru, industri ini mesti te­rus terlibat dalam mendidik orang awam untuk menangani isu ini. Penyelidikan dan kajian lanjut juga perlu dijalankan ke atas kewangan Islam di semua peringkat yang melibatkan pengawal selia, pengamal industri serta ahli akademik.

“Selain itu, pelaburan dalam pembangunan modal insan negara perlu terus ditambah baik memandangkan kurangnya pengetahuan dalam kewangan Islam berkait rapat dengan kekurangan pakar-pakar berkelayakan,” jelasnya.- https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *