Home » Langit Terbuka » Siasat dakwaan tiga ibu tunggal mohon bantuan kewangan gereja – Zulkifli

Siasat dakwaan tiga ibu tunggal mohon bantuan kewangan gereja – Zulkifli

Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan beliau pasti akan membantu tiga ibu tunggal yang mendakwa ditolak permohonan bantuan mereka oleh agensi agama Islam. - Foto The Straits Times

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan tiga ibu tunggal beragama Islam yang terpaksa memohon bantuan kewangan daripada pihak gereja susulan permohonan mereka ditolak pusat zakat atau agensi berkaitan.

Zulkfili berkata, beliau akan membantu individu berkenaan sekiranya mengetahui mengenai perkara itu.

“Kalau saya tahu, saya akan bantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Semarak Lailatul Qadar dan Ramah Mesra Bersama Pengetua Tahfiz & Pondok Wilayah Persekutuan di Maahad Tahfiz Al Faridiyah di Taman Sri Rampai, di sini, semalam.

Kelmarin, sebuah portal berita melaporkan tiga ibu tunggal terpaksa memohon bantuan daripada pihak gereja sejak beberapa tahun lalu selepas pihak institusi zakat dan agensi berkaitan menolak permohonan mereka.

Sementara itu, mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan ibadah haji dan umrah, Dr Zulkifli berkata, SOP itu telah dilengkapkan bagaimanapun Arab Saudi masih belum membuat keputusan sama ada ibadah haji dan umrah dibenarkan pada musim ini.

“Kita doalah banyak-banyak kepada Allah agar wabak ini (Covid-19) pergi,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail.

Pada majlis itu, 41 maahad tahfiz dan pondok berdaftar dengan Jawi menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas makanan seperti beras, tepung, gula dan minyak masak.

Program Semarak Lailatul Qadar Wilayah Persekutuan yang julung kali diadakan pada tahun ini bertujuan merancakkan lagi amal ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan dengan aktiviti dan pengisian kerohanian melibatkan 89 masjid di Wilayah Persekutuan. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *