Home » Langit Terbuka » Sistem Pendidikan Baharu Berpaksikan Teknologi Terkini

Sistem Pendidikan Baharu Berpaksikan Teknologi Terkini

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik

PUTRAJAYA – Sistem pendidikan baharu perlu berpaksikan kepada teknologi terkini selain mampu memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa ibunda.

 Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, sistem itu selari dengan hasrat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu mencapai status negara maju dengan memantapkan sistem pendidikan negara.

“Saya cuba mewujudkan budaya pendidikan yang bersandarkan kepada tiga elemen iaitu kegembiraan, kasih sayang dan hormat-menghormati. Elemen itu penting dalam meningkatkan martabat ilmu ke arah lebih tinggi.

“Justeru, saya mengharapkan kerjasama yang erat dan jitu selain memohon bantuan dalam menjayakan matlamat ini,”katanya ketika berucap dalam majlis suai kenal dan majlis berbuka puasa bersama warga kementerian di sini hari ini.

Menurut Maszlee, beliau ketika ini juga sedang memberi tumpuan kepada penilaian pertengahan semester terhadap aktiviti dan program dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

“PPPM 2015-2025 Pendidikan Tinggi merupakan satu dokumen asas yang menfokuskan keberhasilan bagi pihak berkepentingan dalam sistem pendidikan serta ekosistem pendidikan tinggi.

“Saya sedar, amanah yang dipertangungjawabkan kepada saya selaku Menteri Pendidikan merupakan satu amanah yang berat namun, ia merupakan tangungjawab yang wajib dilaksanakan untuk kemajuan anak bangsa,” katanya.

Sementara itu katanya, seperti yang dihasratkan menerusi Buku Harapan, bidang pendidikan merupakan teras terpenting bagi membina Malaysia yang inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia.

Terdahulu dalam majlis berkenaan, Maszlee turut menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada 184 orang penerima terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU); kumpulan sokongan dan juga anak-anak yatim. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *