Home » Langit Terbuka » Tabung masjid bantu jemaah terdesak

Tabung masjid bantu jemaah terdesak

Hari ini banyak masjid telah pun mengorak langkah menjana sumber kewangan sendiri tidak hanya bergantung kepada sumbangan kerajaan, wakaf tunai, derma khairat daripada orang ramai semata-mata.

CADANGAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang mahukan masjid di negara ini menubuhkan Tabung Kasih Rahmah sebagai usaha membantu golongan memerlukan bantuan kewangan kecemasan adalah sangat baik.

Beliau menjelaskan, masjid seharusnya tidak hanya tertumpu sebagai tempat menunaikan solat dan beribadah semata-mata, tetapi peranan dan sumbangannya perlu lebih daripada itu kepada ahli kariah dan golongan asnaf.

Dalam situasi sekarang, terdapat banyak kes berlaku apabila ahli kariah tiada simpanan wang tunai cukup untuk tujuan kecemasan seperti anak sakit, mengalami kemalangan, ditimpa kebakaran rumah, kenderaan ke tempat kerja rosak dan sebagainya.

Begitu juga dengan golongan asnaf yang kehabisan duit untuk membeli keperluan barang dapur.

Justeru, tabung ini mampu menjadi talian hayat sementara untuk mereka meneruskan kehidupan.

Secara tidak langsung akan mendekatkan mereka dengan institusi masjid kerana cakna dan erat ikatan persaudaraannya dengan ahli kariah.

Langkah mewujudkan tabung kecemasan ini telah pun dimulakan di peringkat masjid Wilayah Persekutuan awal bulan ini.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam kenyataan 1 November lalu memaklumkan, menerusi peruntukan kewangan yang disalurkan ke tabung itu, keutamaan bantuan akan diberikan kepada penduduk di Kuala Lumpur dan warganegara Malaysia, pemohon yang terputus perbelanjaan sara hidup serta kes-kes tertentu yang difikirkan sesuai untuk dipertimbangkan.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *