Home » Langit Terbuka » Tadbir urus baik, kestabilan kunci kemajuan, kata Mahathir

Tadbir urus baik, kestabilan kunci kemajuan, kata Mahathir

Perkara yang paling penting dalam usaha mengubah prestasi ekonomi sesebuah negara adalah memiliki kestabilan di samping tadbir urus yang baik, apabila itu sudah dapat dilaksanakan, yang lain-lain akan menurut sahaja, ujar Tun Dr Mahathir - Foto The Vocket

DAKAR – Tun Dr Mahathir Mohamad menyenaraikan tadbir urus yang baik dan kestabilan sebagai kunci utama bagi mana-mana negara untuk mencapai kemajuan.

Perdana Menteri Malaysia itu berkata demikian dalam perutusan videonya yang ditayangkan pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Kali Ketiga Mengenai Kemunculan Afrika (ICEA-III) pada Khamis.

Dr Mahathir memberitahu hadirin bahawa beliau percaya beliau mempunyai sedikit pengalaman memimpin sebuah negara yang diklasifikasikan sebagai sebuah negara sedang membangun menjadi sebuah negara berpendapatan sederhana yang lebih tinggi.

Beliau menggariskan bahawa mana-mana negara pun mampu berbuat demikian asalkan mereka dapat mengatur kerajaan dengan baik.

“Perkara yang paling penting dalam usaha mengubah prestasi ekonomi sesebuah negara adalah memiliki kestabilan di samping tadbir urus yang baik.

“Apabila itu sudah dapat dilaksanakan, yang lain-lain akan menurut sahaja,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkongsi pengalamannya memajukan Malaysia manakala hadirin tekun mendengarkan ucapan beliau pada persidangan itu yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf (CICAD) di Diamniadio.

Beliau menerima penghormatan sebagai satu-satunya ketua kerajaan yang dijemput untuk mengambil bahagian dalam persidangan yang berlangsung pada 17-19 Jan itu.

Program persidangan itu hari ini termasuk penyertaan Dr Mahathir dalam sesi dialog peringkat tinggi bersama-sama Presiden Senegal Macky Sall dan Presiden Mali Ibrahim Boubacar Keita.

Dengan tema “Kemunculan, Sektor Swasta dan Keterangkuman” persidangan itu memberi peluang kepada Dr Mahathir untuk mempamerkan kejayaan perkongsian sektor awam dan swasta di Malaysia.- Bernama

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *