Home » Langit Terbuka » Tajuk debat tidak jaga sensitiviti Islam tak wajar

Tajuk debat tidak jaga sensitiviti Islam tak wajar

Pejabat Menteri di JPM berkata insiden itu dilihat tidak menjaga sensitiviti umat Islam apabila tajuk diberikan langsung tidak sesuai untuk didebatkan . - Foto IKIM

PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof menegaskan pemilihan tajuk Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019, didakwa tidak menjaga sensitiviti Islam, adalah sesuatu yang tidak wajar malah menyalahi konsep debat itu sendiri.

“Bagaimana nak suruh seorang itu berdebat dengan perkara yang pada asalnya bercanggah dengan Islam, kalau membantah sedap juga, kalau menyokong apa dia nak cakap,” kata beliau.

Beliau juga berharap tidak ada lagi pihak yang membawa isu sensitif sedemikian kononnya atas nama keterbukaan, lapor Bernama.

Pemilihan tajuk debat itu yang berlangsung Ahad lalu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak. Sekretariat juri memohon maaf atas pemilihan tajuk yang tidak menjaga sensitiviti Islam.

Sementara itu, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) memandang serius pemilihan topik kontroversi “Menulis Semula Al-Quran” dan “Amalan homoseksual bukan dosa dalam Islam”.

Dalam kenyataan, Pejabat Menteri di JPM berkata perkara itu dilihat tidak menjaga sensitiviti umat Islam apabila tajuk diberikan langsung tidak sesuai untuk didebatkan kerana Malaysia merupakan negara berbilang kaum dan agama serta mengangkat Islam sebagai agama persekutuan.

“Walaupun kenyataan ‘maaf’ telah dibuat, namun pejabat ini memandang serius isu ini kerana kenyataan yang dikeluarkan ketua juri bersama pertandingan debat itu berhubung topik itu tidak boleh diterima sama sekali.

“Ketika ini terlalu banyak isu yang lebih relevan untuk dijadikan bahan perdebatan seperti isu rasuah, kebertanggungjawaban dan keadilan.

“Justeru, kenapa perlu memilih tajuk yang kontroversi itu? Seeloknya tumpulah pada sesuatu tajuk yang lebih membina negara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menarik perhatian mengenai kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Mujahid yang telah berulang kali menegaskan amalan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) tidak akan diiktiraf sama sekali di negara ini. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *