Home » Langit Terbuka » Tubuh sekretariat permudah rangkaian TV perjelas Islam

Tubuh sekretariat permudah rangkaian TV perjelas Islam

Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat, ahli akademik dalam bidang berkaitan dan tokoh terkemuka negara antara yang boleh diketengahkan dalam penubuhan stesen televisyen menjelas kekeliruan brhubung Islam. - Foto FB

KUALA LUMPUR – Cadangan menubuhkan rangkaian televisyen berbahasa Inggeris antara Malaysia, Turki dan Pakistan mendapat reaksi positif pelbagai pihak kerana ia dilihat mampu menjernihkan pandangan masyarakat dunia akan isu berkaitan Islam dan menangkis kaitan agama berkenaan dengan keganasan.

Mufti Wilayah Persektuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad berkata proses pelaksanaan inisiatif itu dapat dipermudahkan dengan mewujudkan sebuah sekretariat bersama antara ketiga-tiga negara yang berperanan selaku agensi penyiaran dan multimedia, serta badan berkuasa agama.

“Masing-masing (Malaysia, Pakistan dan Turki) boleh menampilkan beberapa tokoh dalam kalangan mereka kemudiannya dikemukakan (penerangan) dengan kepelbagaian cara negara terbabit mungkin dari segi perbezaan, suasana, bangsa dan kehidupan.

“Namun isu yang lebih besar adalah mengumpulkan segala salah faham yang wujud dalam kalangan seperti golongan ekstreme atau Islamophobia dan kemudiannya memberikan jawapan yang paling tuntas dan munasabah,” katanya.

Pada 28 September, Malaysia, Turki dan Pakistan bersetuju supaya langkah tertentu diambil untuk menjelaskan apa Islam sebenarnya kepada dunia luar dalam usaha menangkis kaitannya dengan keganasan.

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini lahir daripada perbincangan yang berlangsung antara beliau bersama Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di sini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata selain kemahiran berkomunikasi, perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah hujah yang disampaikan hendaklah mengandungi fakta yang mampu memberi kesan dan diterima.

Katanya jawapan bagi setiap persoalan itu perlu dibuat menerusi dua kaedah iaitu berdasarkan dalil naqli iaitu nas yg diperoleh daripada Al-Quran atau hadis (bukan berdasarkan rasional fikiran) dan aqli iaitu menggunakan logik akal fikiran dan kemunasabahan yang disulami fakta.

Beliau turut berpendapat ahli akademik dalam bidang berkaitan dan tokoh terkemuka negara antara yang boleh diketengahkan kerana golongan itu bukan sahaja berpengetahuan dan berpengalaman malah mempunyai buah fikiran yang baik.

“Cuma bagi saya kita tidak boleh bebaskan pandangan mereka begitu sahaja, perlu bincang dan buat ‘homework’. Biar percakapan itu nampak tersusun, terarah dan ada hujah-hujah ilmiah walaupun dalam penyampaian secara santai,” tambahnya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *