Home » Langit Terbuka » UIA tidak perlu ikut model Oxford, kata ahli akademik

UIA tidak perlu ikut model Oxford, kata ahli akademik

Profesor Sosiologi, Syed Farid Alatas, warga Malaysia yang kini berkhidmat di Universiti Nasional Singapura berkata, beliau percaya institusi tempatan perlu mengetepikan idea mahu mencontohi institusi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa semata-mata kerana mahu mencontohinya. - Foto Kosmo

PETALING JAYA – Seorang profesor sosiologi menggesa bakal presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) supaya menilai semula idea mahu menjadikan universiti itu sebuah Oxford bagi negara umat Islam.

Syed Farid Alatas, warga Malaysia yang kini berkhidmat di Universiti Nasional Singapura berkata, beliau percaya institusi tempatan perlu mengetepikan idea mahu mencontohi institusi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa semata-mata kerana mahu mencontohinya.

Katanya kepada FMT, beliau menyokong penuh usaha UIA mencapai standard lebih tinggi, tetapi “kita tidak perlu mengikut model Oxford, Cambridge, Harvard atau mana-mana universiti itu semata-mata kerana mahu mencontohinya kerana banyak aspek model pendidikan mereka tidak sesuai dengan kita.”

Idea mahu menjadikan UIA sebuah Oxford disebut beberapa kali oleh bekas presidennya, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Maszlee baru-baru ini memaklumkan bahawa beliau telah melepaskan jawatan tersebut. Semalam universiti berkenaan berkata, ia telah menyerahkan senarai nama calon presiden baru UIA kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang akan mengemukakannya kepada ketua perlembagaan UIA, Sultan Pahang.

Farid berkata, sesetengah univesiti di luar negara cenderung untuk meminggirkan suara bukan-Barat dan akan mengajar subjek berkaitan Asia, seperti agama Timur dari perspektif Eropah.

“Keadaan ini boleh difahami kerana mereka adalah orang Eropah yang mempelajari masyrakat atau peradaban lain,” katanya.

“Bagaimanapun kita tidak boleh menggunakan pendekatan serupa di Malaysia kerana kita bukan sahaja mahu mempelajari tentang orang Islam, Hindu atau Buddha, tetapi mahu memahami mereka dari perspektif kita sendiri.”

Beliau berkata, universiti tempatan harus berusaha membebaskan dunia Melayu daripada stereotaip ras, yang menurutnya. merupakan peninggalan penjajahan Eropah.

“Dari sudut itu, kita tidak boleh berkata kita mahu mana-mana universiti kita dilihat sebagai Oxford Timur atau sepertinya kerana universiti kita masih perlu bersihkan daripada pengaruh penjajahan,” tambah beliau.

Farid mengalu-alukan keputusan Maszlee melepaskan jawatannya di UIA dengan berkata, adalah lebih baik individu bukan-politik mengetuai institusi pendidikan.

Beliau berkata, presiden UIA mestilah sekurang-kurangnya seorang cendekiawan ternama dan hasil akademiknya diiktiraf di peringkat antarabangsa. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *