Home » Langit Terbuka » Tidak patut jadi isu

Tidak patut jadi isu

Pakar Perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (gambar) mengakui pihak polis mungkin perlu meneliti semula kenyataan yang dikeluarkan tiga individu itu, sama ada menghina atau menghasut. - Foto Ismaweb

KUALA LUMPUR – Siasatan pihak polis terhadap tiga individu yang didakwa menghina Sultan Muhammad V mengikut Akta Hasutan 1948 tidak sepatutnya dijadikan isu oleh mana-mana pihak.

Dalam hal tersebut, semua pihak kena jelas bahawa siasatan terhadap tiga individu ter­babit kerana kenyataan terbuka mereka mempertikai dan menghina kedudukan Sultan Muhammad V sebagai ketua kerajaan dan ketua agama Islam.

Pakar Perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman mengakui pihak polis mungkin perlu meneliti semula kenyataan yang dikeluarkan tiga individu itu, sama ada menghina atau menghasut.

“Kalau kita menghina, interpretasinya kena diteliti apa yang mereka kata kerana mungkin ia tidak termasuk dalam Akta Hasutan jika tiada kecenderungan menghasut.

“Tetapi, netizen kena faham dan hormat Perlembagaan Persekutuan termasuk kedaulatan raja-raja, tidak boleh main-main kerana mereka adalah ketua kerajaan yang juga ketua agama Islam di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Subang Jaya, Farhan Haziq Mohamed dan Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan dalam satu kenyataan bersama menyifatkan tindakan polis adalah bertentangan dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz menegaskan, Akta Hasutan 1948 harus dipertahankan kerana peruntukan undang-undang itu bertujuan mempertahankan keselamatan dalam negara daripada isu-isu sensitif.

Jelas beliau, akta tersebut telah dipinda pada 1970 susulan peristiwa 13 Mei 1969 agar tiada mana-mana pihak boleh mempertikaikan Perkara 152 (bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu), Perkara 153 (kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah, Sarawak) dan Perkara 181 (kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa raja-raja) Perlembagaan Persekutuan.

“Pihak yang mendakwa Akta Hasutan 1948 adalah undang-undang yang ketinggalan zaman sebenarnya mereka tidak mengetahui sejarah negara,” katanya. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *