Home » Langit Terbuka » Ulama perlu main peranan penting atasi masalah murtad

Ulama perlu main peranan penting atasi masalah murtad

Mufti Pulau Pinang menegaskan golongan muda perlu dilengkapi dengan pendidikan agama yang baik kerana mereka akan memimpin negara di masa depan. - Foto MyWilayah

KUALA LUMPUR: Ramai ulama masih belum menunaikan tanggungjawab yang mencukupi dalam usaha menangani masalah murtad di negara ini.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata ulama perlu menjelaskan keperluan agama, khususnya kepada generasi muda bagi memastikan mereka memiliki pendidikan agama yang kukuh.

Beliau berkata, golongan muda perlu dilengkapi dengan pendidikan agama yang baik kerana mereka akan memimpin negara di masa depan.

“Jika mereka tidak disediakan dengan pendidikan agama yang kukuh, maka kepemimpinan mereka di masa mendatang akan jadi kucar-kacir.

“Keperluan agama ini sesuatu yang wajib dan tidak boleh dipandang enteng,” katanya kepada BH.

Wan Salim berkata, golongan murtad dikategorikan sebagai individu yang melakukan jenayah terhadap agama.

Beliau menjelaskan, ia boleh berlaku dengan tiga cara iaitu murtad dari segi percaya kepada tuhan lain selain Allah dan mempercayai ada Rasul lain selepas Nabi Muhammad SAW.

Murtad juga boleh berlaku melalui percakapan atau pertuturan, yang mana individu berkata sesuatu yang menghina agama, mencerca nabi dan mengaku ada tuhan lain.

“Individu juga boleh dianggap murtad menerusi perbuatan. Sebagai contoh, sujud kepada berhala dan memijak al-Quran,” katanya.

BH baru-baru ini melaporkan, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada gejala murtad dalam kalangan orang Islam di negara ini, termasuk pengaruh media massa, kelemahan pegangan agama, pengaruh negatif rakan sebaya, selain isu percintaan, perkahwinan dan perceraian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata faktor itu dikesan kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Tiga mahasiswa USIM dakwah di New Zealand

SEREMBAN – Tiga mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan perjuangan dakwah penyebaran syiar Islam melalui latihan industri di Masjid Al Noor,

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *