Home » Langit Terbuka » Wacana baik harus dijulang, bukan dicerca dengan kritikan melampau – Anwar

Wacana baik harus dijulang, bukan dicerca dengan kritikan melampau – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sesuatu wacana yang baik harus dijulang dan bukannya dicerca dengan kritikan melampau, khususnya yang membabitkan konteks daripada ayat al-Quran.

Menerusi catatan di aplikasi X, Anwar menyentuh mengenai satu majlis membabitkan penjawat awam yang mana beliau mengingatkan tentang kepentingan nilai dan akhlak dalam menjalankan tugas, amanah serta tanggungjawab dengan mengaitkannya dengan kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi daripada surah Al Kahfi di dalam al-Quran.

Perkara itu kini semakin meluas dibahas di media sosial.

“Saya kaitkan kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi seperti dalam ayat al-Quran surah Al Kahfi di mana pada masa itu sistem dan kerajaan serta raja yang zalim itu menyembah berhala, ditolak orang beriman termasuk tujuh pemuda ini yang kemudian berlindung di sebuah gua.

Mesejnya adalah keteguhan dan kekentalan iman pemuda itu yang membentengi kepada amalan syirik dan kebejatan, justeru adalah wajar agar penjawat awam mengambil iktibar daripada kisah tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar berkata pandangan beliau disalah tafsir hingga ada yang dikupas melibatkan cacian dan cemuhan pada sesetengah pihak termasuk pendakwah dan ulama, yang disifatkannya sebagai keterlaluan dan tidak sepatutnya terjadi.

Dalam rakaman video yang turut dikongsi bersama hantaran itu, Anwar berkata tujuan beliau menyampaikan mesej demikian kepada penjawat awam adalah untuk mengingatkan mereka bahawa disebalik kemampanan ekonomi, keutamaan pembangunan dan tata kelola, aspek yang penting perlu berpaksikan kepada keimanan, menjaga nilai dan akhlak.

“Sebab itu bila saya diangkat sebagai Perdana Menteri, antara buku yang kebetulan pertama diedarkan secara meluas yang saya minta oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) ialah kupasan Almarhum Sheikh Dr Taha Jabir al-Alwani iaitu kitab beliau Adabul Ikhtilaf Fil Islam, adab berbeda pendapat dalam Islam.

“Cerca orang, laknat orang, fitnah orang dengan fakta tidak betul kerana ketaksuban kita bukan kepada Islam tetapi parti sehinggakan orang yang tidak mengikuti dianggap musuh durjana semuanya. Itu yang saya minta dibaca kerana ada kaedah-kaedah berbeda pendapat,” katanya.

Oleh sebab itu Anwar berkata langkah memperkenalkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi kepada pelajar Islam di sekolah mulai tahun depan, bertujuan meningkatkan mutu kefahaman masyarakat terhadap Islam yang julung kali dilakukan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *