Home » Citra Yadim » YADIM dalam dokumentari 13 episod

YADIM dalam dokumentari 13 episod

Zulkharnain (kanan) dan Hadi (kiri) semasa perbincangan mengenai dokumentari video berkenaan usaha agensi agama

PUTRAJAYA – Sebuah dokumentari 13 episod yang memfokuskan kepada usaha dakwah yang dijalankan agensi kerajaan seperti yang dianjurkan oleh Gagasan Rahmatan Lil Alamin akan diterbitkan tidak lama lagi.

Dokumentari berdurasi 30 minit setiap episod itu nanti akan menjelaskan dan memaparkan pelbagai bentuk usaha dakwah yang sebenarnya giat dilaksanakan oleh agensi agensi Islam persekutuan, dengan memaparkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagai teraju utamanya.

Penerbit Rancangan Televisyen, Bahagian Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Hadi Rahim berkata, draft panduan awal untuk rancangan dokumentari itu telah disiapkan pihaknya, dan seterusnya kini merupakan proses mendapatkan input permulaan daripada YADIM serta agensi agensi Islam lain.

“Dokumentari ini akan diterbitkan oleh Bahagian Penyiaran JAKIM, manakala input dan bahan bahan untuk dokumentari akan datang dari agensi agensi yang terlibat. Ia juga akan berdasarkan (skrip) kepada kandungan buku ‘Islam dan Kepelbagaian’ hasil tulisan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf sendiri.

“Antara yang bakal jadi pengisian ialah aktiviti turun padang, wawancara dengan pelaksana program, reaksi masyarakat selain tumpuan kepada visi kepimpinan YADIM serta ketua ketua agensi agama persekutuan yang lain.

“Kita akan pandukan rancangan antaranya kepada pengenalan kepada Rahmatan Lil Alamin, kepimpinan, ekonomi, sistem pemerintahan, tadbir urus yang baik, masyarakat berilmu, institusi keluarga, hubungan etnik, pembangunan lestari, kebajikan, keselamatan dan beberapa lagi,” jelas beliau.

Hadi berkata demikian dalam sesi perbincangan bersama Timbalan Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin di pejabatnya di sini hari ini (13 Februari 2019).

Beliau menjelaskan, format video dokumentari dipilih kerana menerusinya, mesej kepada penonton dapat disampikan dengan lebih mudah berbanding kaedah lain seperti rancangan bual bicara.

Sementara itu sebagai permulaan, Bahagian Penyiaran JAKIM akan cuba untuk terlibat sama dengan program YADIM di Terengganu dan Kelantan pada 16 dan 17 Februari ini, jelas Hadi.

Menurutnya lagi, pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri berhasrat supaya penerbitan video dokumentari ini dapat disiarkan segera supaya mesej Rahmatan Lil Alamin itu dapat disampaikan dengan secepat mungkin kepada umum.

Hadi menambah, beberapa mesyuarat pelarasan akan diadakan antara JAKIM, YADIM serta beberapa pihak lain yang bakal terlibat dengan projek berkenaan.

Dalam pada itu Zolkharnain menyambut baik usaha berkenaan kerana menurutnya, ia dapat menyampaikan kepada masyarakat apa yang sebenarnya dilakukan oleh agensi agensi agama.

Beliau turut mencadangkan supaya dilibatkan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM yang sememangnya ramai terlibat dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di negara ini, dalam mendapatkan panduan untuk tujuan penerbitan video berkenaan.

“Yang Berhormat Menteri juga sebenarnya ada sebut, ini usaha baik supaya dapat ditunjukkan, agensi agama bukan sekadar duduk di pejabat sahaja.

“Kita lihat agensi agama di negara ini memang kurang ditampilkan di media (gerak kerja), seperti contoh institusi zakat,  jadi ada yang ambil kesempatan lemparkan tohmahan, terutamanya di media sosial. Masyarakat mahu lihat kita menyantuni orang ramai.

“InsyaAllah kita akan rancang dan laksana sebaiknya untuk jayakan dokumentari ini, dan fokuskan Rahmatan Lil Alamin,”ujarnya.

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *