Home » Citra Yadim » IAIS kongsi kepakaran Bahasa Inggeris, Penerbitan

IAIS kongsi kepakaran Bahasa Inggeris, Penerbitan

Delegasi IAIS semasa mengadakan perbincangan dengan Nik Omar di pejabatnya

PUTRAJAYA  – Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia menerusi kemampuan akademiknya sudi berkongsi kepakaran dalam bidang pengajian akademik, penerbitan dan Bahasa Inggeris dengan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata demikian semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Yang Berbahagia Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz di pejabatnya pada 11 Februari lalu.

Hadir sama ialah Ketua Unit Sains, Teknologi, Persekitaran dan Etika, Dr Ahmad Badri Abdullah, Ketua Sumber Manusia, Mohd Fariz Zainal Abdullah, Pegawai Eksekutif Pemasaran & Hubungan Awam, Radzi Ahmad, serta Pegawai Eksekutif Konferens, Abdul Muhaimin Misran.

Selain mengucapkan tahniah atas perlantikan beliau, kunjungan dari IAIS ini bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim, berkongsi idea serta membicangkan peluang kerjasama demi kepentingan masyarakat, ummah dan negara.

Sebelum ini, YADIM dan IAIS Malaysia pernah bekerjasama menganjurkan beberapa program seperti Reviving the Islamic Spirit (RIS) Malaysia Convention 2017 dan Leadership Enhancement & Intellectual Development (LEID) 2017 di London, Britain.

Pertemuan kali ini berhasrat untuk meneruskan kerjasama yang terjalin melalui pelbagai aspek.

Antaranya termasuklah agenda memperkasakan Gagasan Rahmatan Lil Alamin melalui kerangka Maqasid al-Shariah dan Konsep Malaysia, selain mempromosikan konsep Fiqh Ta’ayush dalam menguruskan konflik perkauman dan sentimen keagamaan dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian di Malaysia.

Menyentuh mengenai kerjasama dengan YADIM, Mohamed Azam berkata, selain penguasaan Bahasa Inggeris dan penerbitan, hubungan antara kedua organisasi ini juga berpotensi diluaskan ke bidang lain seperti perundangan dan syariah, kewangan Islam, kepimpinan mahasiswa, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari.

“Ini nanti kita boleh aplikasikan semasa persidangan, syarahan umum dan pnerbitan dalam Bahasa Inggeris.

“YADIM sementara itu turut menjemput IAIS Malaysia untuk berkongsi kepakaran dalam  penganjuran aktiviti bersama di peringkat antarabangsa,” kata Mohamed Azam.

IAIS merupakan sebuah badan pemikir bebas yang ditubuhkan pada 2007 yang mempunyai objektif untuk menjalankan kajian akademik terhadap cabaran yang dihadapi Islam di negara ini khususnya.

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *