Home » Langit Terbuka » YADIM mahu lahir lebih ramai kakitangannya jadi pendakwah bertauliah

YADIM mahu lahir lebih ramai kakitangannya jadi pendakwah bertauliah

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM yang baharu, Tuan Haji Zamri Zainal Abidin ketika majlis serah terima tugas pada 17 Februari. - Foto YADIM

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berhasrat melahirkan lebih ramai pendakwah bertauliah di kalangan kakitangannya dalam usaha menyebar luas kegiatan syiar Islam.

Ia juga bagi meninggikan lagi martabat Islam dan kesejahteraan ummah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu, Zamri Zainal Abidin berkata, ia selaras dengan visinya untuk menjadikan YADIM sebagai hab pendakwah bertauliah di negara ini.

Menurut beliau, usaha itu akan dimulakan dengan menggunakan semua kemudahan sedia ada dengan memberi latihan dan bimbingan kepada kakitangan terlebih dahulu.

“YADIM perlu melahirkan lebih ramai pendakwah yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam kalangan untuk lebih agresif turun ke medan lapangan.

“Kakitangan YADIM tidak kira daripada mana-mana bahagian kena keluar berdakwah dalam usaha menjadikan hub penceramah bertauliah mengajar yang diiktiraf pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis serah tugas daripada Tuan Kamarul Arief Tuan Soh yang sebelum ini berkhidmat di badan dakwah itu sejak 2019.

Mengulas lanjut, Zamri Zainal turut memuji legasi pentadbiran yang ditinggalkan sebelum ini dan berjanji akan meneruskan perkara yang baik sepanjang berkhidmat di YADIM.

Beliau berkata, tiada perubahan drastik yang akan dilakukan di YADIM dan hanya melakukan penambahbaik dalam meningkatkan lagi imej badan dakwah itu kepada masyarakat.

Sementara itu, lantikan Zamri Zainal yang sebelum ini merupakan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri berkuat kuasa kelmarin.

Sebelum itu, beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha Kanan kepada Exco Agama Islam di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Lulusan Universiti Al Azhar itu juga pernah menjadi Pegawai Khas Hal Ehwal Islam kepada mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Zamri juga pernah menjadi Penerbit Rancangan Kanan Radio Ikim.FM di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

YADIM Kedah dan Perlis: Ziarah Madani Mualaf

MENJELANG Syawal tidak lama lagi, adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memupuk semangat kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama Muslim termasuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *