Home » Citra Yadim » YADIM tandatangani kolaborasi strategik dengan PUO

YADIM tandatangani kolaborasi strategik dengan PUO

IPOH – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) terus mengorak langkah dalam usaha memperkasa kepimpinan anak muda di negara ini.

Terbaharu, badan dakwah ini telah menandatangani sijil kolaborasi strategik dengan politeknik Ungku Omar (PUO) di sini bagi tujuan tersebut.

Mewakili YADIM dalam majlis ini ialah Yang Dipertuanya, Ustaz Nasrudin Hassan manakala PUO oleh pengarahnya, TS Haji Mohd Fisal Haroon.

Melalui kerjasama ini, ia akan membolehkan PUO meningkatkan keupayaannya sebagai hub pendidikan, dakwah dan kepimpinan kepada pelajar politeknik dan kolej komuniti di negeri ini melalui penubuhan Rakan Siswa YADIM.

Juga ia untuk menyediakan tenaga dan kepakaran bagi aktiviti kebajikan serta memberi kemudahan melibatkan program yang dianjurkan secara bersama kepada kakitangan YADIM.

Untuk YADIM pula, ia bakal memperkasakan aktiviti pendidikan, dakwah dan kepimpinan kepada ahli-ahli Rakan Siswa YADIM di politeknik dan kolej komuniti di negeri ini serta  mengadakan kursus kepimpinan dan pemantapan pengurusan organisasi kepada penyelaras dan pimpinan Rakan Siswa YADIM.

Ia juga akan membolehkan badan dakwah ini melaksanakan aktiviti kebajikan Rakan Siswa YADIM melibatkan agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Ustaz Nasrudin dalam ucapannya berkata, YADIM amat berbesar hati untuk menjalin kerjasama dengan PUO khususnya dalam usaha memperkasa pembangunan generasi muda.

Ujar beliau, kerjasama sebegini sangat wajar digerakkan dalam usaha meningkatkan keupayaan institusi pengajian tinggi sebagai hub pendidikan, dakwah, tarbiah dan kepimpinan kepada pelajar-pelajar.

Usaha ini juga tambahnya, menepati misi besar YADIM iaitu menyebarluas kegiatan
dakwah menerusi kebajikan, pendidikan dan sosial untuk meninggikan martabat
Islam dan kesejahteraan ummah.

Kerjasama ini ditandatangani sempena Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan CEO@Polycc dan Pelancaran The Institution of Engineers Malaysia Student Centre Politeknik Ungku Omar 2021.

Program CEO@PolyCC merupakan salah satu dari usaha Kementerian Pengajian Tinggi dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan.

Ia bermatlamat memberi pendedahan kepada pelajar mengenai dunia sebenar pekerjaan melalui sudut pandangan Ketua Pegawai Eksekutif atau tokoh industri terkemuka dari pelbagai latar belakang melalui sesi syarahan, siri kuliah jemputan, perbincangan panel pakar dan pengajaran bersama.

Melalui program ini pelajar akan berpeluang untuk mempelajari keadaan sebenar dunia pekerjaan termasuk aspek pentadbiran dan perkongsian amalan terbaik agar dapat berfikir dengan lebih baik dan holistik.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *