Home » Citra Yadim » Yayasan Usuluddin mahu bernaung di bawah YADIM

Yayasan Usuluddin mahu bernaung di bawah YADIM

PUTRAJAYA – Yayasan Usuluddin Malaysia (YaUM), sebuah badan dakwah yang memfokuskan kepada pendidikan dan kebajikan, menyatakan hasrat untuk bernaung di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Hasrat tersebut disampaikan oleh Pengasasnya, Dr Mohamad Kamil Abdul Majid dalam kunjung hormatnya ke ibu pejabat YADIM di sini pada 29 Ogos.

Hadir bersama beliau ialah Ahli Lembaga Pengurus YaUM (Bahagian Perhubungan & Antarabangsa), Faiz Fazlollah Suhaimi dan Ahli Jawatankuasa YaUM Cawangan Kelantan, Mohd Ilham Bin Nordin.

Di sesi pertemuan antara kedua pihak ini, YADIM diwakili oleh Yang Dipertuanya, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz serta Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Dr Muhamad Razak Idris.

Mohamad Kamil berkata, dengan bernaung di bawah YADIM, pihaknya boleh melaksanakan pelbagai program bersama yang menguntungkan kedua pihak serta membawa manfaat kepada ramai.

“Kita boleh adakan kerjasama dalam bidang penerbitan, buat masa yang terdekat ini kami berhasrat untuk terjemahkan buku buku hasil penulisan cendekiawan Islam Mesir, Yusuf Al Qaradawi untuk hidupkan konsep Wasatiyyah.

“Kandungan terjemahan itu nanti akan menurut konsep Rahmatan Lil Alamin yang kerajaan bawa hari ini,” jelas beliau.

Katanya lagi, menerusi usaha terjemahan itu, pihaknya berhasrat menangani gejala fahaman melampau, terutamanya yang menggunakan alasan agama, dibawa oleh pihak tidak bertanggungjawab ke negara ini.

“Ada keperluan untuk fahaman, ilmu dan pengalaman yang dibawa oleh golongan tertentu, para pelajar umpamanya dari tempat pengajian mereka ke negara ini, agar ianya disesuaikan dengan keadaan dan budaya negara ini,”.

“Kita mahu ilmu yang berguna dari negara mereka belajar, tetapi pengalaman dan budaya mesti menurut acuan Malaysia, atau Asia Tenggara sekurang kurangnya,” ujar Mohamad Kamil.

Sementara itu, Nik Omar mengucapkan terima kasih atas hasrat YaUM itu sambil menyatakan, mereka boleh diletakkan di bawah koordinasi Majlis Amal Islami Malaysia.

Menurut beliau, ia sesuai dengan peranan YADIM selaku penyelaras kepada badan bukan kerajaan Islam di negara ini.

Katanya, dengan pengalaman YaUM dalam bidang pendidikan, kedua badan dakwah ini boleh bekerjasama dalam menganjurkan seminar berkaitan pemikiran tokoh pada masa akan datang.

YaUM  telah ditubuhkan secara rasmi pada tarikh 17 Februari 2012 dibawah Akta Pertubuhan, Jabatan Perdana Menteri.

Ia giat menjalankan kelas kelas pengajian dan aktiviti kemasyarakatan serta kebajikan. Baru baru ini ia berjaya melaksanakan program ibadah korban di Kampung Longsan Wilayah Kandal dan Kampung Keh Wilayah Kampot di Kemboja.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *