Home » Langit Terbuka » 100 asnaf jadi usahawan tahun ini

100 asnaf jadi usahawan tahun ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (tengah) semasa menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara SME Corp Malaysia dan MAIW., - Foto NSTP

KUALA LUMPUR – SME Corporation Malaysia (SME Corp) menyasarkan untuk mewujudkan 100 usahawan asnaf tahun ini hasil kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata kerjasama di antara kedua-dua pihak ini julung kali diadakan bagi melaksanakan Program Tunas Usahawan Baitumal.

Katanya matlamat utama program itu selain meningkatkan taraf hidup golongan ini daripada terus menerima zakat ia juga bertujuan memperkasakan mereka dengan bantuan model perniagaan.

“Program Tunas Usahawan Baitumal ini turut dikenali sebagai ‘Asnafperneur’ di mana peserta program akan diberikan pendedahan latihan berkaitan perniagaan, keusahawanan dan pemasaran ekonomi digital.

“Kerjasama strategik ini mampu menyuntik semangat daya saing dalam diri usahawan Baitumal yang setanding usahawan lain.

“Kita mahu lihat golongan penerima zakat ini pada masa akan datang bertukar dari penerima zakat kepada pemberi,” katanya berucap pada perasmian Program Tunas Usahawan Baitumal, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Pengerusi SME Corp Malaysia, Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee.

Sesi memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara MAWIP dan SME Corp itu kemudian ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Sementara itu, Mohd Hatta, berkata program berkenaan mengadaptasi modul latihan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang dilaksana oleh SME Corp.

Katanya kejayaan program TUBE yang mencatatkan hasil jualan mencecah RM100 juta dan memberi pekerjaan kepada 8,000 orang wajar menjadi contoh kepada pelbagai program perintis.

“Saya berharap program ini akan membantu usahawan Baitumal memulakan dan mengembangkan perniagaan pada masa akan datang.

“Sokongan SME Corp terhadap peserta program tidak berhenti setakat ini saja, malah bagi mereka yang berhasrat untuk mengembangkan perniagaan, berpeluang untuk memohon pelbagai bantuan dan latihan disediakan oleh kerajaan,” katanya. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *