Home » Langit Terbuka » 369 suspek militan Daesh ditahan

369 suspek militan Daesh ditahan

Antara kes-kes penahanan suspek militan Daesh. Foto : https://www.benarnews.org

PUTRAJAYA 6 Jan. – Sebanyak 369 suspek militan Daesh termasuk 87 warga asing ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2013 hingga 2017.

Timbalan Menteri Dalam Ne­geri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sepanjang tempoh ber­kenaan, sebanyak 19 siri cubaan melakukan keganasan berjaya ditumpaskan.

Menurut beliau, usaha itu menggambarkan pendirian jelas Malaysia dalam memerangi keganasan yang merangkumi usaha melaksanakan undang-undang ba­gi membendung ancaman itu.

“Undang-undang diambil bukan sahaja dapat mengesan dan memberkas suspek militan, malah turut menyekat pembiayaan kewangan bagi tujuan keganasan.

“Malaysia tidak sesekali berundur dalam soal ini dan sentiasa mengambil langkah sewajarnya termasuk meningkatkan operasi antikeganasan bersama masyarakat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara dalam Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 di sini hari ini.

Penutupan program dialog antarabangsa selama dua hari bermula semalam itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang hadir sama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa serta Setiausaha Agung pertubuhan Rabitah Al-Alam Al-Islami, Dr. Muhammad Abdul-Kareem Al-Issa.

Menurut Nur Jazlan, pendekatan memerangi keganasan perlu berubah selaras dengan pere­daran masa, khususnya dalam menangkis penyebaran ideologi ekstremis.

Katanya, sehubungan itu PDRM melancarkan Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi (CMC) untuk memantau internet dan laman sosial yang digunakan militan dalam menyebarkan dakyah mereka.

“Pokok utamanya adalah usaha menangkis dakyah militan perlu kreatif dan relevan bersesuaian dengan generasi masa kini.

“Malah ia memerlukan kerjasama bersepadu termasuk pihak antarabangsa dalam memastikan pelaksanaan deradikalisasi pengikut militan dapat dijayakan,” ujar beliau.

Nur Jazlan menambah, agama tidak wajar dilihat menjadi garisan pemisah sesama manusia walaupun masing-masing berbeza kepercayaan.

“Tiada agama di dunia yang membenarkan keganasan dilakukan dalam mencapai matlamat tertentu, maka aspek agama dalam memerangi keganasan perlu ditekankan segera,” katanya.- UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *