Home » Langit Terbuka » Dr M keluh sekolah kebangsaan lebih tekankan agama

Dr M keluh sekolah kebangsaan lebih tekankan agama

Perdana Menteri mahu anak-anak belajar agama dan dalam masa yang sama menguasai mata pelajaran lain, terutama sains, matematik dan Bahasa Inggeris - Foto Mediaadil

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi mengeluh sekolah kebangsaan lebih tekankan mata pelajaran agama, menyebabkan lepasan sekolah kurang mengetahui pelajaran yang berguna untuk pekerjaan.

Berucap kepada alumni Kolej Sultan Abdul Samad malam tadi, Dr Mahathir berkata mutu pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan menurun, antaranya kerana kualiti guru dan kurikulum yang gagal mengimbangi agama dan mata pelajaran lain.

“Bukan kerana anda tidak bijak atau tidak mampu belajar,” katanya kepada 600 hadirin di majlis makan malam bersama persatuan bekas pelajar kolej itu di Bangsar malam tadi.

“Sekolah kebangsaan hari ini seperti sekolah agama. Semua belajar tentang Islam dan tidak ada yang lain. Akibatnya, lepasan sekolah kurang mengetahui mata pelajaran yang berguna untuk pekerjaan, tetapi boleh jadi ‘ulama’.

“Terlalu ramai ‘ulama’ hinggakan mereka berkelahi sesama sendiri. Inilah masalah yang kita hadapi sekarang dan sebab itu kita akan ubah kurikulum sekolah.”

Beliau tidak menolak pembelajaran agama namun kerajaan akan mengkaji semula kurikulum untuk menghasilkan keseimbangan dalam pembelajaran anak-anak kerana negara mempunyai cita-cita untuk menjadi negara maju.

Perdana menteri mahu anak-anak belajar agama dan dalam masa yang sama menguasai mata pelajaran lain, terutama sains, matematik dan Bahasa Inggeris.

“Rakyat mesti berpendidikan tinggi, bukan hanya boleh baca doa tetapi juga mata pelajaran lain. Kurikulum akan diubah supaya ia mengajar semua orang mata pelajaran yang berguna apabila mereka berdikari,” katanya.

Beliau berkata rakyat, terutama orang Melayu harus menguasai Bahasa Inggeris kerana ia bahasa sejagat, bahasa ilmu pengetahuan, dan kerana kita ada cita-cita yang besar.

“Kita perlukan pertolongan untuk membina semua negara kerana beberapa tahun yang lalu tidak baik untuk Malaysia.

“Kita perlu kuasai Bahasa Inggeris kerana anda akan dapati ia berguna di mana sahaja anda berada…tak berkurang Melayu kita atau kurang Malaysia jika kita bertegas mahu menguasai Bahasa Inggeris.” – FreeMalaysiaToday

 

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *