Home » Langit Terbuka » Agamawan seluruh dunia perlu tampil bantu tangani ekstremisme

Agamawan seluruh dunia perlu tampil bantu tangani ekstremisme

Pemikiran ekstrem serta salah pemahaman dalam prinsip keagamaan menyebabkan kemudaratan. (gambar hiasan)

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia penting bagi menggalakkan persefahaman serta saling menghormati bagi mempertahankan keharmonian dan keamaan sejagat.

Katanya, kesederhanaan adalah langkah pertama yang penting dalam menuju kepada agenda lebih besar iaitu penyatuan dalam masyarakat pelbagai agama.

“Golongan ekstremisme dan radikal tidak mempunyai agama atau budaya.

“Penganut agama di seluruh dunia perlu tampil ke hadapan dan menyokong agenda kesederhanaan kerana ia adalah pendekatan terbaik untuk menangani masalah ini, selain kemudaratan yang disebabkan oleh pemikiran ekstrem serta salah pemahaman dalam prinsip keagamaan,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Antarabangsa mengenai Kesederhanaan Dalam Masyarakat Pelbagai Agama: Menuju Keamanan dan Keharmonian di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Jelas beliau, usaha mempertahankan keamanan yang ada amat penting bagi membolehkan agenda pembangunan digerakkan dengan pantas.

Simposium antarabangsa ini dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) Datuk Dr Nasharudin Mat Isa.

Pada majlis sama, sebuah buku terbitan IKIM bertajuk Religion, Dialogue and Peaceful Coexistence turut dilancarkan. – ASTRO AWANI

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *