Home » Langit Terbuka » Aktiviti jual ubat luput tarikh terbongkar

Aktiviti jual ubat luput tarikh terbongkar

GOMBAK: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan aktiviti menjual semula ribuan tablet ubat tahan sakit, sawan dan kencing manis yang sudah luput tarikh, kepada orang ramai menggunakan botol baharu.

Aktiviti ‘kitar semula’ itu disyaki antara penipuan terancang sebuah syarikat pengilang kosmetik dan produk makanan kesihatan beroperasi di kawasan perindustrian di Rawang di sini, sejak sekian lama.

Siasatan mendapati pemilik syarikat itu dipercayai menggunakan ubat sudah luput tarikh sebagai modal perniagaan dengan berselindung di sebalik jenama produk herba tradisional.

Kegiatan licik itu dibongkar sepasukan pegawai Bahagian Penguat Kuasa Farmasi (BPF) KKM diketuai Timbalan Pengarah Cawangan Perisikan Operasi bahagian berkenaan, Adnan Salimin, yang menyerbu premis terbabit pada jam 11 pagi kelmarin.

Jurucakap KKM berkata, operasi dilakukan selepas pihak BPF mengesyaki premis itu dijadikan lokasi mengilang ubat-ubatan tidak berdaftar mengandungi racun berjadual corticosteroid – dexamethasone.

“Ketika serbuan, pihak BPF mendapati empat pekerja kilang itu sedang melakukan tugas membungkus produk diragui yang mengandungi pil gabapentin untuk ubat merawat sawan, selain pil meloxicam bagi menahan sakit.

“Pemeriksaan terhadap gudang kilang itu turut menemukan beribu botol produk campuran tablet gilbenclamide dan tablet metformin bagi rawatan penyakit kencing manis, yang tidak memiliki kelulusan serta pendaftaran daripada KKM,” katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan beratus kotak ubat-ubatan berdaftar gabapentin, meloxicam, gilbenclamide dan metformin yang sudah luput tarikh di gudang sama.

“Pihak kilang terbabit disyaki mengeluarkan ubat-ubatan itu dari kotak asal sebelum dimasukkan semula ke dalam botol kecil menggunakan jenama syarikat itu.

“Kita percaya ia dijual kepada orang ramai yang menyangkakannya produk herba tradisional,” katanya.

Katanya, tindakan disyaki penipuan itu boleh membahayakan nyawa pengguna, apatah lagi ubat-ubatan berkenaan tidak boleh digunakan tanpa nasihat dan preskripsi doktor.

“Susulan itu, pegawai BPF merampas semua ubat-ubatan terbabit dianggarkan bernilai lebih RM70,000 untuk tindakan lanjut mengikut Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Racun 1952,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *