Home » Citra Yadim » “Andai kiranya pihak tuan dapat memberi sumbangan …”

“Andai kiranya pihak tuan dapat memberi sumbangan …”

PUTRAJAYA – Jam 9 malam tadi (5 Januari), seorang mangsa banjir di Bukit Changgang menghubungi YADIM menerusi Facebook kami.

Dalam mesej ringkasnya, penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Yan itu memberitahu, keseluruhan kawasan kediaman mereka ditenggelami air.

Puan Yan memohon agar YADIM dapat hadir menghulurkan bantuan kepada penduduk kawasan berkenaan, khususnya ibu mengandung dan warga emas amat memerlukan bantuan segera.

Menurutnya lagi, dengan keupayaan yang ada, pihaknya cuba membersihkan kawasan sekolah memandangkan sesi persekolahan baharu akan bermula minggu hadapan.

Sebaik mengetahui perkara ini, Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hassan segera mengarahkan pasukan petugas banjir YADIM untuk turun padang menghantar bantuan.

Hari ini (6 Januari)  Bahagian Khidmat Bakti YADIM telah mengunjungi Bukit Changgang untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk kawasan tersebut.

Kami bawakan toto, bantal , selimut, pek makanan sedia dimakan, kit kebersihan, kit ibadah, kit makanan asas, tuala mandi, selimut dan wang tunai.

Majlis penyerahan ringkas oleh Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh diadakan di Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang, yang turut dihadiri oleh Guru Besar sekolah berkenaan, Lizaros Lewan.

Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Khidmat Bakti YADIM, Abdul Qaiyum Mohamad Aris serta Pengerusi Sukarelawan YADIM Kuala Langat, Hasmawi Mahidin dan ahli jawatankuasanya.

Alhamdulillah, Sukarelawan YADIM Kuala Langat telah beberapa kali turun padang menyantuni mangsa banjir termasuk di kawasan ini. 

YADIM kemudiannya menziarahi tiga buah kediaman bagi menghantar terus sumbangan untuk mereka.

Sayu hati kami melihat kemusnahan yang berlaku akibat musibah banjir. Terdetik bagaimana mereka masih boleh tersenyum menyambut kedatangan kami ke kediaman mereka.

InsyaAllah YADIM akan mengadakan program susulan kepada penduduk di kawasan ini yang menjadi mangsa banjir pada masa akan datang.

 

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *