Home » Langit Terbuka » Anggota polis tolak sogokan RM100,000 terima penghargaan

Anggota polis tolak sogokan RM100,000 terima penghargaan

Empat anggota polis yang diberikan penghargaan kerana menolak sogokan dari lelaki yang dipercayai pengedar dadah. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR – Empat anggota polis daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang menolak cubaan sogokan wang berjumlah RM100,000 diberikan penghargaan sempena Hari Peringatan Polis Ke-212, hari ini.

Koperal Kamal Bahrin Abu, Koperal Rezazazwan Abdul Wahab, Koperal Muhamad Fitri Al’ Hakim Safee dan Koperal Ahmad Asri Abd Rashid masing-masing menerima surat penghargaan yang disampaikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhamad Fitri Al’ Hakim berkata, kejadian berlaku pada 2 Oktober tahun lalu apabila dia bersama Koperal Rezazazwan menjalankan rondaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan.

“Ketika melakukan rondaan, saya melihat sebuah kereta jenis Mercedes Benz dipandu laju sebelum memeriksa nombor pendaftaran yang digunakan.

“Pemeriksaan mendapati warna kenderaan yang berdaftar adalah warna hitam namun kereta yang saya lihat berwarna kelabu.

“Selepas menahan kenderaan terbabit, seorang pemandu lelaki cuba merasuah dengan menghulurkan wang sebanyak RM300,” katanya ketika ditemui selepas menerima surat penghargaan sempena Hari Peringatan Polis Ke-212, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.

Muhamad Fitri Al’ Hakim berkata, dia menolak wang berkenaan dan meminta untuk melakukan pemeriksaan di bahagian but belakang kenderaan berkenaan.

“Pemeriksaan kemudian menemui sejumlah dadah dan lelaki berkenaan cuba sekali lagi menyogok wang, kali ini berjumlah RM100,000.

“Saya kemudian meminta bantuan rakan yang turut ditawarkan sogokan dengan nilai yang sama, kami semua menolak sogokan berkenaan dan menahan lelaki terbabit sebelum dijatuhkan hukuman.

“Tugas kami bukan mudah, bagaimanapun saya percaya dengan semangat kerja berpasukan dan integriti kami dapat melakukan tugas dengan baik,” katanya. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *