Home » Langit Terbuka » Apa maksud Islam semakin terancam

Apa maksud Islam semakin terancam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri percaya Mufti Perlis tidak mengeluarkan kenyataan Islam di negara ini semakin terancam, melainkan ada pandangannya tersendiri, namun menegaskan bahawa kerajaan juga ada pendapat tersendiri. - Foto Malaysiakini

KAJANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mempersoalkan maksud yang hendak disampaikan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin terhadap kenyataannya yang mendakwa urus tadbir Islam negara ini ‘semakin terancam’.

Menjawab kepada kenyataan dibuat Mufti Perlis itu, beliau berkata kerajaan mengeluarkan bajet yang besar untuk pentadbiran Islam di negara ini sejak mengambil alih tampuk pemerintahan hampir setahun lalu.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan, termasuk pertemuan dengan ilmuan Islam dan Ulamak dilaksanakan bagi mendapatkan maklum balas serta memperbaiki isu semasa sudah dijalankan.

“Saya tidak faham apa yang dimaksudkan beliau dengan Islam itu semakin terancam?

“Adakah beliau hanya mengambil satu contoh yang berlaku terhadap saudara Zambri Vinoth (pendakwah bebas yang ditahan atas dakwaan hina agama Hindu)?

“Tidak adil jika mengambil kes itu dan kemudian mengatakan Islam terancam di Malaysia,” katanya selepas Majlis Muhadharah Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD), di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung status Facebook Dr Mohd Asri dengan catatan ‘Ramai merasakan di bawah urus tadbir hari ini, Islam makin terancam di Malaysia. Apakah pendapat anda?’

Dr Mujahid berkata, beliau percaya Mufti Perlis itu tidak mengeluarkan kenyataan seumpama itu melainkan ada pandangannya tersendiri, namun menegaskan bahawa kerajaan juga ada pendapat tersendiri.

“Saya ingin tegaskan berkenaan Rule of Law, jika ada aduan dan alasan untuk polis melihat ia satu keperluan untuk mengambil tindakan maka ia harus diambil.

“Bagaimanapun, kita melihat masih ada ruang untuk mempertahankan diri (merujuk kepada Zambri Vinoth) jika didakwa di mahkamah. Maka dia boleh pertahan diri dari dakwaan menghina agama lain itu,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *