Home » Langit Terbuka » Azmin beri jaminan Putrajaya tak kembalikan GST

Azmin beri jaminan Putrajaya tak kembalikan GST

Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, tidak timbul soal pelaksanaan semula GST

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali memberi jaminan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) seperti cadangan Barisan Nasional dalam bajet bayangan mereka yang dibentangkan hari ini.

“Di sini tidak timbul soal pelaksanaan semula GST. Kita putuskan GST dimansuhkan dan SST (cukai jualan dan perkhidmatan) diperkenalkan. Ini adalah janji kita kepada rakyat untuk hapuskan GST.

“Kalau BN ingin kemukakan manifesto atau cadangan mereka, kita serahkan kepada rakyat sama ada boleh menerima cadangan tersebut atau tidak,” katanya di lobi Parlimen.

Terdahulu, Menteri Kewangan Bayangan BN, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kadar 3% GST itu antara 9 hasil cukai dicadangkan BN, dengan 6 daripadanya ialah cukai baru, iaitu cukai soda, karbon, beg plastik, tobin, remit dan kekayaan.

Beliau berkata, cadangan cukai bersasar itu mampu meningkatkan hasil negara yang akan dikembalikan kepada rakyat dengan saksama.

Azmin berkata, pihaknya bersetuju dengan pelaksanaan sistem cukai efektif dan tidak membebankan rakyat, khasnya golongan B40.

“Kita harus melihat satu sistem percukaian yang menyeluruh.

“Pada masa ini, kita yakin SST walaupun dari segi kutipan akan berkurangan, tetapi kita boleh tutup ketirisan, kebocoran dan kurangkan belanja awam, dengan itu kita dapat tingkatkan hasil.

“Hasil tidak semestinya melalui cukai. Ini harus dielakkan, kita ada mekanisme lain, maknanya dengan tender terbuka, pembidaan terbuka.”

Kerajaan PH menurunkan kadar GST kepada 0% mulai 1 Jun lalu, sebelum menghapuskan Akta GST selepas 3 tahun pelaksanaannya.

Putrajaya kemudiannya memperkenalkan semula SST untuk menggantikan GST mulai 1 September lalu. Di bawah SST, 10% dikenakan untuk cukai jualan, manakala 6% bagi cukai perkhidmatan. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *