Home » Langit Terbuka » Bank Islam, KPWKM sedia platform pembayaran bantuan kebajikan secara digital

Bank Islam, KPWKM sedia platform pembayaran bantuan kebajikan secara digital

Langkah Bank Islam dan KPWKM itu untuk meningkatkan tahap kecekapan proses pembayaran bantuan kebajikan kepada golongan sasar. - Foto TMR

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bekerjasama menyediakan platform pembayaran bantuan kebajikan secara digital kepada penerima bantuan di bawah KPWKM.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed berkata platform itu akan menyediakan pembayaran secara sistematik dengan menggunakan kad debit di semua terminal peniaga.

Katanya langkah itu untuk meningkatkan tahap kecekapan proses pembayaran bantuan kebajikan kepada golongan sasar yang akan diperluaskan ke kawasan luar bandar.

“Kerjasama ini berpadanan dengan Digital Journey Bank Islam untuk menyediakan penyelesaian digital berfokuskan pelanggan bagi memudahkan transaksi perbankan mereka.

“Ia juga untuk memastikan penyampaian perkhidmatan atau produk perbankan kami lebih efisien, pantas, selamat dan memenuhi trend semasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU Program Kebajikan Sosial Berasaskan Platform Ekonomi Digital, di sini.

MoU tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Perniagaan Bank Islam Mizan Masram dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Zulkifli Ismail sebagai mewakili KPWKM.

Ia disaksikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah serta Mohd Muazzam.

Mohd Muazzam berkata penggunaan kad debit juga lebih telus dalam memastikan penggunaan dana hanya bagi barangan keperluan di premis perniagaan yang terpilih.

Katanya platform itu menyediakan proses pemantauan terhadap penggunaan bantuan oleh penerima melalui penyediaan laporan yang terperinci daripada Bank Islam kepada kementerian.

“Data transaksi yang kami sediakan akan membolehkan kementerian membuat pemantauan dan analisis terhadap keberkesanan bantuan kepada penerima, sekali gus menyediakan ruang bagi kementerian terbabit untuk merancang kemudahan lain yang relevan kelak,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *