Home » Langit Terbuka » Boleh solat Jumaat lebih 250 orang di Melaka

Boleh solat Jumaat lebih 250 orang di Melaka

Walaupun bilangan jemaah di Melaka adalah 40 peratus daripada kapasiti masjid, ia tetap tertakluk kepada kesediaan dan kemampuan ahli jawatankuasa masjid untuk mengendalikan kehadiran jemaah. - Foto NSTP

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membenarkan jemaah solat Jumaat di negeri ini melebihi 250 orang mulai esok.

Bagaimanapun jemaah tetap disyaratkan supaya menjaga penjarakan sosial satu meter dengan jumlah maksimum jemaah adalah 40 peratus daripada kapasiti sebenar sesebuah masjid.

Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat berkata, walaupun bilangan jemaah adalah 40 peratus daripada kapasiti berkenaan, ia tetap tertakluk kepada kesediaan dan kemampuan ahli jawatankuasa (AJK) masjid untuk mengendalikan kehadiran jemaah.

Beliau berkata, jemaah dibenarkan solat di luar bangunan masjid dengan syarat tidak mengganggu lalu lintas dan tanah milik orang lain.

Namun, katanya, jika hujan dan tiada khemah disediakan di luar masjid, jemaah yang berada di halaman masjid tidak dibenarkan masuk kerana tindakan itu akan menyebabkan kesesakan dalam masjid.

“Selain itu, kelas pengajian al-Quran, gotong-royong dan korban haiwan ternakan untuk Aidiladha dibenarkan diadakan,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Mufti Melaka dalam kenyataannya berkata, aktiviti korban boleh dilakukan di masjid, surau, kawasan awam dan persendirian dengan syarat mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar selain sudah dimaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.

Selain itu, penyembelihan juga boleh dilakukan di rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Jasin dan Kompleks Abatoir Alor Gajah.

Penyembelihan turut dibenarkan dibuat di Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan di Bukit Tembakau, Umbai dan Sungai Putat, Batu Berendam, di sini.

Bilangan petugas yang dibenarkan hadir ketika penyembelihan lembu dan kerbau hanyalah 10 orang manakala untuk kambing, hanya empat orang bagi memastikan jarak sosial sentiasa dipatuhi selain mengelakkan kehadiran terlalu ramai orang di tempat penyembelihan. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *