Home » Langit Terbuka » Bukan Bumiputera dialu-alukan sertai TUDM

Bukan Bumiputera dialu-alukan sertai TUDM

Panglima TUDM berkata, pihaknya giat mengadakan pelbagai strategi pemasaran bagi mendorong pembabitan golongan bukan bumiputera untuk memilih kerjaya sebagai anggota TUDM - Foto FMT

IPOH – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) giat mempromosi pengambilan calon bukan Bumiputera bagi menarik lebih ramai golongan itu menyertai pasukan berkenaan.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata pihaknya giat mengadakan pelbagai strategi pemasaran bagi mendorong pembabitan golongan itu untuk memilih kerjaya sebagai anggota TUDM.

Katanya, pembabitan calon bukan Bumiputera dari Sabah dan Sarawak dalam kursus asas TUDM tahun ini menunjukkan satu perkembangan positif.

“Penyertaan calon bukan Bumiputera dari Sabah dan Sarawak semakin ramai kali ini, lebih daripada 30 orang dan pengambilan calon bukan Bumiputera masih diteruskan,” katanya pada sidang media selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TUDM Siri 59/2018 di Insitut Latihan Akademi Tentera Udara (ATU), di sini hari ini.

Dalam majlis berkenaan, seramai 308 perajurit muda udara berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan selama enam bulan selepas menjalani pelbagai latihan termasuk latihan jasmani, kawad, pengendalian senjata, latihan medan, etika tentera, pengetahuan awam serta modal insan, yang bermula sejak 7 Julai lalu.

Sementara itu terdahulu, Affendi dalam ucapannya berkata, pihaknya memperkenalkan Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau dikenali sebagai CAP55 (sub: Capability Development 55) bagi memastikan semua aset tempur TUDM berada pada tahap optimum serta berupaya memacu transformasi kesiapsiagaan di peringkat strategik, operasi dan taktikal.

“Ini penting bagi TUDM melaksanakan peranannya dengan efektif dan efisien dengan menggunakan aset secara optimum selari dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan perajurit muda supaya menggunakan jaringan media sosial secara berhemah serta mematuhi peraturan sebagai anggota.

“Laman sosial tidak seharusnya disalah guna oleh anggota tentera sehingga memudaratkan diri sendiri dan perkhidmatan,” katanya. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *