Home » Langit Terbuka » Duit tabung masjid cecah RM1 juta

Duit tabung masjid cecah RM1 juta

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu meminta supaya setiap Ahli Jawatankuasa masjid di negeri itulebih pro aktif dalam memainkan peranannya bagi memperkasakan tabung masjid masing-masing. - Foto hiasan Ancasa Group

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mendedahkan terdapat sebilangan masjid di negeri ini tidak membelanjakan wang kutipan tabung masing-masing sehingga ada tabungan mencecah hampir RM1 juta.

Yang Dipertuanya, Datuk Osman Muda berkata, ia berlaku kerana pihak pengurusan masjid berkenaan kurang mengadakan aktiviti.

Malah katanya, apa yang dikesalkan ada sesetengah masjid dengan duit tabungan yang banyak hasil derma orang ramai termasuk jemaah, tetapi masih lagi meminta bantuan daripada MAIDAM untuk membayar bil elektrik.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya setiap Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid di negeri ini lebih pro aktif dalam memainkan peranannya bagi memperkasakan tabung masjid masing-masing.

“Perkara ini tidak sewajarnya berlaku, AJĶ masjid tidak sepatutnya menyimpan kutipan wang tabung begitu banyak tanpa mencari kaedah terbaik menggunakannya untuk orang ramai.

“Mereka sepatutnya menggunakan wang tersebut dengan mengadakan pelbagai aktiviti demi faedah orang ramai. Kita sedang pantau dan diharapkan selepas ini tak ada lagi AJK masjid hanya suka simpan wang tabung banyak tapi kurang adakan aktiviti,” katanya.

Osman berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Multaqa Amil Zakat Terengganu 2019 di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, di sini.

Lebih 1,000 amil zakat yang dilantik di seluruh negeri ini menyertai program itu yang antara lain bertujuan mendedah dan meningkatkan peranan sebenar golongan amil dalam membuat kutipan zakat.

Yang turut hadir ialah Pegawai Eksekutif MAIDAM yang baharu, Rodzi Bidin dan bekas Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Ismail Ali. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *