Home » Langit Terbuka » Gagasan Negara Rahmah dibentang dalam Kabinet bulan depan

Gagasan Negara Rahmah dibentang dalam Kabinet bulan depan

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata, pihaknya kini dalam peringkat akhir menyiapkan kertas pembentangan sebelum dibawa kepada jemaah menteri. - Foto NSTP

KOTA BHARU – Gagasan Negara Rahmah; iaitu konsep negara Islam moden yang berteraskan Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia akan dibentang ke mesyuarat Kabinet pada bulan hadapan sebelum menjadi dasar baharu negara.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pihaknya kini dalam peringkat akhir menyiapkan kertas pembentangan sebelum dibawa kepada jemaah menteri.

Jelasnya, sebagai permulaan, beliau sudahpun mengadakan pertemuan dengan lima Menteri untuk menjelaskan dan berbincang tentang konsep ‘Negara Rahmah’.

“Minggu depan pula saya akan berjumpa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk beri penerangan supaya semua kementerian dapat bawa aspirasi ini dalam segala aktiviti mereka capai sasaran Negara Rahmah.

“Macam (kerajaan) sebelum ini ada konsep penerapan nilai-nilai Islam dan dasar wasatiyah di mana pelaksanaan bukan dibuat di satu kementerian sahaja tetapi menjadi dasar kerajaan seluruhnya.

“Saya bersyukur halangan untuk pergi ke Kabinet tidak susah, doakan agar diterima secara rasmi dan wawasan Negara Rahmah akan bantu capai cita-cita Malaysia Baharu,” katanya selepas program Jelajah Kampus Rahmatan Lil Alamin di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini semalam.

Yang turut hadir, Naib Canselor, Prof Ts Dr Noor Azizi Ismail; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Rafi Yaacob dan Pengarah program, Khairol Najib Hashim.

Hampir 1,000 pelajar menghadiri siri keempat program jelajah itu selepas Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Terdahulu dalam ucapannya, Mujahid berkata, gagasan Negara Rahmah sudah pun diterima sebulat suara di Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 14 Mac lalu.

“MKI adalah majlis tertinggi dalam pentadbiran Islam dan mesyuarat ini dihadiri semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan wakil mereka.

“Kertas pertama dibentang adalah Gagasan Malaysia Negara Rahmah dan setelah selesai perbincangan semua bersetuju menerimanya sebagai wawasan negara,”katanya.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, satu platform rasmi akan dibentuk selepas ini bagi membolehkan mahasiswa menyalurkan pandangan mereka mengenai pentadbiran Islam di negara ini terus kepada JPM.

“Kita akan jumpa mungkin sebulan atau dua bulan sekali dengan wakil mahasiswa setiap kampus supaya dapat berinteraksi dan dapatkan maklum balas terbaik daripada mereka,”katanya. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *