Home » Langit Terbuka » Graduan boleh usaha tanah terbiar

Graduan boleh usaha tanah terbiar

Kerajaan sentiasa menggalakkan belia datang kepada kementerian untuk memohon segala bentuk latihan dan bantuan bagi mengerjakan tanah terbiar. - Foto FB

SERDANG – Anak muda dan graduan yang baru keluar dari universiti disaran lebih memikirkan untuk berusaha dalam bidang keusahawanan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, mereka boleh mengusahakan tanah terbiar ataupun usaha lain yang boleh memberi kesejahteraan kepada keluarga mereka.

Katanya, kerajaan sentiasa menggalakkan mereka datang kepada kementerian untuk memohon segala bentuk latihan dan bantuan bagi mengerjakan tanah terbiar.

“Memang kita beri galakan kepada anak muda dan graduan yang baru keluar universiti lebih memikirkan untuk berusaha terutamanya balik ke kampung ataupun ke luar bandar membantu ibu bapa itu sendiri.

“Kalau dulu ibu bapa mempunyai minda untuk menggalakkan anak lepas keluar sekolah cari kerja, hari ini saya rasa ibu bapa memahami keadaan sekarang. Mereka mahu anak muda kembali mengerjakan, contoh tadi tanah terbiar ataupun usaha lain,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics Ke-16 di Universiti Putra Malaysia.

Hadir sama, Pengerusi Cybernetics, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Mazlan Abdullah.

Pada majlis itu, 1,644 graduan menerima penganugerahan diploma dan sijil dalam pelbagai bidang pengajian termasuk 54 graduan sulung program baru, Diploma Pengurusan Industri Halal.

Mohd Redzuan berkata, pendekatan menggunakan e-dagang dan digitalisasi boleh menaikkan lagi keyakinan kepada mereka menceburi bidang keusahawanan.

“Baru-baru ini, dalam mesyuarat Kabinet kita menerima permohonan daripada NGO (badan bukan kerajaan) untuk menyewa tanah terbiar yang dipunyai kerajaan negeri.

“Kira-kira 100 lebih ekar (40.5 hektar) di mana kita akan memberi tanah itu setakat mana mahu diusaha. Ini kalau saya lihat, kalau boleh diangkat kepada kami siapa sahaja yang berminat. Banyak juga tanah terbiar,” katanya.

Beliau berkata, ada juga NGO yang mahu mewujudkan kerjasama seperti bersama mengusahakan tanah terbiar, dengan kerajaan memberi latihan, sokongan dan bantuan. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *