Home » Langit Terbuka » Hasyudeen dilantik Pengarah Urusan Kumpulan TH baharu

Hasyudeen dilantik Pengarah Urusan Kumpulan TH baharu

Nik Mohd Hasyudeen, merupakan seorang akauntan bertauliah yang menjadi ahli lembaga pengarah beberapa syarikat senaraian awam seperti Bank Islam Malaysia Berhad dan Cagamas Holdings Berhad. - Foto StarProperty.com

PUTRAJAYA – Tokoh korporat dan akauntan bertauliah, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) berkuat kuasa pada 1 September ini.

Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Datuk Seri Zukri Samat yang menamatkan kontrak perkhidmatannya lebih awal atas faktor kesihatan selepas menyumbang lebih setahun di institusi kewangan Islam itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Zukri telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH pada 10 Julai 2018 dengan misi untuk memulihkan kedudukan kewangan TH.

“Dalam tempoh yang singkat, beliau telah berjaya melaksanakan proses pemulihan dan penstrukturan semula kedudukan kewangan TH bagi mengatasi kedudukan defisit aset yang dialami.

“Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan proses tadbir urus serta pengurusan yang telus bagi menjaga kepentingan para pendeposit.

“Sumbangan dan panduan yang telah diberikan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya kini telah meletakkan TH pada kedudukan kewangan yang lebih stabil bagi melaksanakan mandat utama TH sebagai institusi yang amat penting dalam membantu umat Islam di Malaysia melaksanakan rukun Islam kelima.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Zukri di atas sumbangan dan komitmen beliau terhadap TH dan semoga Nik Mohd Hasyudeen dapat meneruskan usaha memperkukuhkan institusi yang mulia ini,” kata Mujahid menerusi satu kenyataan di sini hari ini (23 Ogos).

Dalam pada itu, Nik Mohd Hasyudeen, 54, merupakan seorang akauntan bertauliah yang menjadi ahli lembaga pengarah beberapa syarikat senaraian awam seperti Bank Islam Malaysia Berhad dan Cagamas Holdings Berhad.

Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah di TH Plantations Berhad, Malaysia Professional Accountancy Center, Federation of Investment Managers Malaysia dan Al Hijrah Media Corporation.

Beliau mendapat pendidikan universiti dalam bidang bisnes dan perakaunan daripada Curtin University of Technology, Australia.

Nik Mohd Hasyudeen pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif, Bahagian Kawal Selia Pasaran dan Korporat, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Beliau merupakan pengasas Inovastra Capital Sdn Bhd, sebuah syarikat yang menyediakan khidmat nasihat dalam kepimpinan, governan dan strategi. Beliau juga ialah Pengerusi Cagamas Holdings Berhad.

Sebagai felo Certified Practising Accountant (CPA) Australia, beliau aktif dalam bidang akauntansi di Malaysia dan serantau.

Beliau ialah bekas Presiden Institut Akauntan Malaysia dan bekas Naib Presiden Persekutuan Akauntan Asean.

Nik Mohd Hasyudeen juga turut menjadi ahli lembaga pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM).

TH yang memiliki seramai 9.3 juta pendeposit mempunyai aset terkumpul sebanyak RM76.5 bilion setakat Disember 2018. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *