Program anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas masuk tahun kelima penganjuran dengan tema ‘Bangsa Berbudi dan Penyayang.’

Pada tahun ini, Malaysia #QuranHour memilih surah al-Kahfi sebagai surah tema yang membawakan panduan menghadapi cabaran akhir zaman.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, program ini merupakan satu daripada pengisian dalam kehangatan sambutan Hari Kebangsaan ke-62, khususnya anak-anak muda supaya mereka memahami erti sebuah kemerdekaan dan keamanan disulami dengan keimanan.

“Tiada yang istimewa bagi kita umat Islam melain kita berpegang dengan al-Quran, membaca dan menghayati seterusnya mengamalkan isi kandungannya.

“Bertepatan sambutan merdeka diikuti Maal Hijrah, maka hendaklah kita menyematkan keazaman tinggi untuk menjadi yang lebih baik dan terbaik dalam apa juga aspek,” katanya dalam satu temu bual di sini.

Beliau berkata, antara yang cuba disampaikan pada program kali ini melalui surah tema al-Kahfi ialah, pemuda-pemuda yang mempunyai iman dan mempertahankan iman mereka dalam kehidupan yang penuh cabaran.

Jelasnya, ini kali pertama program berkenaan dianjurkan pada hari Jumaat bagi membolehkan lebih ramai menyertainya.

“Program bermula sebelum solat Jumaat dan diakhiri dengan solat Jumaat. Kita akan turut menampilkan qari-qari yang pernah menjadi johan tilawah peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi mentadabur surah al-Kahfi (10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir),” jelasnya.

Beliau sehubungan itu mengajak umat Islam di Putrajaya dan daerah sekitar untuk hadir sama bagi menjayakan program Malaysia #QuranHour 2019.

“Saya menyeru umat Islam di Malaysia untuk sama-sama mentadabur surah al-Kahfi di mana di situ mempunyai ciri-ciri dan nilai-nilai merdeka dari sudut keimanan, merdeka daripada sifat menghambakan diri kepada harta, merdeka daripada kejahilan kepada keimanan kepada Allah dan merdeka daripada menjadi seorang hamba kekuasaan kepada seorang yang bersifat amanah,” katanya. – Utusan Malaysia