Home » Langit Terbuka » IHAB perkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal

IHAB perkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal

“IHAB dianggotai oleh pihak berkuasa dan badan pensijilan halal daripada 45 negara mampu menggerakkan matlamat ke arah penyeragaman dan pengharmonian proses pelaksanaan pensijilan halal, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - Foto FB

KUALA LUMPUR – Penubuhan International Halal Authority Board (IHAB) mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal global melalui pelaksanaan pengiktirafan pihak berkuasa dan badan pensijilan halal di luar negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh berkata, badan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menjaga kepentingan umat Islam dalam pensijilan halal produk makanan dan perkhidmatan.

“IHAB yang dianggotai oleh pihak berkuasa dan badan pensijilan halal daripada 45 negara mampu menggerakkan matlamat ke arah penyeragaman dan pengharmonian proses pelaksanaan pensijilan halal di kebanyakan negara di dunia.

“Sehingga 3 Disember 2019, Jakim telah mengiktiraf 78 badan pensijilan halal dari negara berkenaan dan pengiktirafan diberikan berasaskan kepada pematuhan dan pelaksanaan piawaian halal yang menepati ciri-ciri dan model Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang bertanyakan tentang perancangan kerajaan meningkatkan peranan Jakim dalam pensijilan halal  semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini (4 Disember).

Fuziah berkata, pengiktirafan itu secara tidak langsung menjadi mekanisme penyelarasan di peringkat antarabangsa dan badan-badan pensijilan halal ini perlu menerima standard piawaian halal Malaysia.

Beliau turut memaklumkan Malaysia telah dilantik sebagai Pengerusi dan Setiausaha Agung IHAB bagi penggal 2019 hingga 2021 semasa Mesyuarat Agung IHAB pada 1 April lepas.

Sementara itu, menjawab soalan yang dibangkitkan tentang langkah yang diambil oleh kerajaan dalam mengawal selia produk halal di pasaran, Fuziah berkata, pemantauan berkala sentiasa dilakukan oleh Jakim bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaan logo halal.

Katanya, satu direktori halal juga diwujudkan di portal www.halal.gov.my atau melalui aplikasi ‘Smart Halal’ dan ‘Verify Halal’ bagi membolehkan pengguna memeriksa status halal sesuatu produk di pasaran. – Bernama

Artikel Berkaitan

Ulama galakkan kesederhanaan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Majlis Ulama Asia memainkan peranan penting dalam mempromosi kesederhanaan melalui tafsiran teks agama yang seimbang, memperjuang toleransi dan membimbing umat

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *