Home » Langit Terbuka » IPD Serdang serah peti dan papan kenyataan cegah jenayah di masjid

IPD Serdang serah peti dan papan kenyataan cegah jenayah di masjid

Tujuan diadakan majlis penyerahan itu adalah bagi menghebahkan kepada masyarakat terutamanya yang hadir ke masjid tentang bagaimana sesuatu kejadian jenayah berlaku, langkah-langkah pencegahan dan tindakan yang perlu di ambil sekiranya berlaku suatu kejadian jenayah, kata Polis Daerah Serdang. - Foto FB

KUALA LUMPUR – Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menganjurkan majlis penyerahan peti maklumat dan papan kenyataan kempen cegah jenayah bersama penduduk sekitar Puchong di Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara 5, Puchong, dekat sini baru-baru ini.

Program kemasyarakatan itu bertujuan merapatkan jurang antara masyarakat dan polis bersesuaian dengan tema peringatan Hari Polis ke 212, Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, majlis yang mendapat sambutan penduduk sekitar merupakan anjuran Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti dengan kerjasama Balai Polis Bandar Kinrara.

“Majlis diketuai oleh Asisiten Superintenden Ambia Nordin telah mendapat sambutan yang baik dari ahli kariah yang hadir ke masjid tersebut setelah selesai menunaikan Solat Jumaat.

“Tujuan diadakan majlis ini adalah bagi menghebahkan kepada masyarakat terutamanya yang hadir ke masjid tentang bagaimana sesuatu kejadian jenayah berlaku, langkah-langkah pencegahan dan tindakan yang perlu di ambil sekiranya berlaku suatu kejadian jenayah,” katanya menerusi muat naik di laman Facebook Polis Daerah Serdang.

Selain itu, difahamkan pihak pengurusan IPD turut menyerahkan papan kenyataan bermaklumat dengan tajuk Bersatu Memerangi Jenayah.

Majlis tersebut dirasmikan oleh KPD Serdang, Ismadi dengan disaksikan oleh Pegawai Agama Islam Daerah Petaling, Ustaz Muhammad Nurhamin Norisham, Nazir Masjid, Ahmad Soyuti Sabran dan barisan kepimpinan Jawatankuasa Masjid Al-Ehsan.

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut daripada IPD Serdang, Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Mohd. Rosdi Daud, Ketua-Ketua Bahagian , Ketua-Ketua Polis Balai dan Pegawai Rendah Polis. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *