Home » Citra Yadim » Is’ad Al Usrah bertepatan dengan tujuan penubuhan YADIM

Is’ad Al Usrah bertepatan dengan tujuan penubuhan YADIM

BATU KURAU – Program Is’ad Al Usrah yang dilaksanakan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bertepatan dengan tujuan badan dakwah ini ditubuhkan.

Timbalan Yang Dipertua YADIM, Yang Berbahagia Dato’ Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti berkata, melalui program ini, badan dakwah ini akan berusaha menyantuni golongan yang dikenal pasti memerlukan di seluruh negara.

“Is’ad ini bermaksud menggembirakan,ia satu inisiatif yang sangat bermakna, dan inilah tujuan asal penubuhan YADIM sebenarnya,” katanya ketika merasmikan program YADIM Peduli : Is’ad Al Usrah dan Sumbangan Keluarga Asnaf di Kampung Anak Kurau di sini pada 23 Ogos.

Program selama dua hari bermula 22 Ogos ini telah melaksanakan kerja pembaikan di kediaman seorang warga emas, Khazimah Abdul Wahab di sini.

Antara yang dilaksanakan ialah membersihkan kawasan luar dan dalam rumah, mengecat dinding, menurap halaman rumah dengan batu selain sumbangan peralatan rumah seperti almari baju, tukar getah dan dapur gas.

Sejumlah RM11,000 diperuntukkan untuk kerja kerja pembaikan dan sumbangan di rumah Khazimah.

Khazimah ketika ditemui mengucapkan berbanyak terima kasih kepada YADIM atas sumbangan yang diterimanya.

Bekas Ahli Sukarelawan Al Falah YADIM ini turut berharap agar badan dakwah ini dapat melaksanakan lebih banyak program bantuan seperti ini.

Hadir sama ke majlis ini ialah Penghulu Mukim Batu Kurau, Zamri Arifin, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Kampung Anak Kurau, Radhi Ramli dan Pengerusi Sukarelawan YADIM Batu Kurau, Kamariah Baharom.

Dalam pada itu, Dr Mohd Fakhrudin menambah, YADIM mengalu alukan sebarang cadangan dan maklum balas berhubung pelaksanaan program ini serta berkata program ini juga akan diadakan di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, YADIM juga melakukan sumbangan kepada 100 keluarga asnaf yang dikenal pasti di kawasan ini.

Mereka terdiri daripada penduduk di Kampung Perak, Kampung Titi Kasai, Kampung Tepoh dan Kampung Batu 14.

Terdahulu pada sebelah pagi, telah diadakan program Cuci Cuci di Masjid Al Khairiah Batu 14 di sini.

Kakitangan YADIM disertai oleh Sukarelawan YADIM, ahli Rakan Siswa YADIM dan Daie Muda YADIM telah membersihkan bahagian luar dan dalam masjid yang dibina pada 1887 itu.

Mereka turut membantu membina rak barangan untuk kegunaan masjid ini.

Pengerusi masjid, Rosli Mohamad melahirkan rasa terharu dan berterima kasih pada YADIM yang sanggup hadir ke Batu Kurau untuk mengadakan program bagi membersih dan menceriakan masjid itu.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *